Program Keusahawanan Belia CGC100 melabuhkan tirainya dengan melahirkan 100 graduan, manakala 58 daripada mereka telah mendaftarkan perniagaan yang secara keseluruhannya mewujudkan 86 peluang pekerjaan.
Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) meraikan 30 peserta kumpulan ketiga dan terakhir program itu dalam satu majlis di Bangunan CGC, di sini, sekali gus melengkapkan pelaksanaan inisiatif yang diperkenalkan pada 2022.
Program dengan kerjasama PINTAR Foundation dan sokongan Kementerian Pendidikan itu menyasarkan belia Malaysia berusia 18 hingga 23 tahun, khususnya daripada komuniti kurang mendapat akses serta latar belakang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kumpulan terakhir yang mengikuti program dari Ogos 2025 hingga Februari 2026 menjalani latihan selama enam bulan merangkumi asas perniagaan, penjenamaan, kemahiran digital, celik kewangan dan kelestarian, selain berpeluang membentangkan idea perniagaan masing-masing.
Menurut penilaian impak pascaprogram PINTAR Foundation, 58 peratus graduan berjaya menjana pendapatan melalui perniagaan selepas menamatkan program, dengan semakin ramai memasuki julat hasil bulanan RM10,000 hingga RM50,000.
Pengerusi CGC, Dato’ Mohammed Hussein berkata, pengalaman berdepan kegagalan dan cabaran merupakan sebahagian daripada perjalanan seorang usahawan, selain menggalakkan golongan muda berani mengambil risiko yang dikira.
Sementara itu, Pengurus Besar PINTAR Foundation, Norzalina Masom berkata, CGC100 bukan sekadar menyediakan kemahiran perniagaan, malah menjadi platform untuk peserta mengenal potensi diri dan mengubah idea kepada peluang.
Walaupun CGC100 berakhir, usaha memperkasa usahawan muda akan diteruskan menerusi CGC Youth Entrepreneurship Programme (CGC YEP) sebagai inisiatif keusahawanan belia utama CGC.
Berbeza dengan CGC100 yang memberi tumpuan kepada pelajar TVET, CGC YEP dibuka kepada usahawan baharu berusia 18 hingga 35 tahun daripada pelbagai latar belakang, dengan fokus meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesediaan pembiayaan bagi membina perniagaan mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan.
-NIAGATIMES




















































