Green SM lancar perkhidmatan teksi elektrik enam tempat duduk di Indonesia

Green SM, platform e-hailing serba elektrik, memperluas perkhidmatannya di Indonesia menerusi pelancaran Green Limo, perkhidmatan teksi elektrik premium enam tempat duduk yang menggunakan sepenuhnya kenderaan Limo Green.

Perkhidmatan baharu itu merupakan perkhidmatan kenderaan empat roda ketiga Green SM di Indonesia selepas Green Car dan Green Premium, dengan sasaran pengguna termasuk keluarga, kumpulan besar, pengembara perniagaan serta penumpang yang membawa banyak barangan.

Limo Green menawarkan kabin tiga baris yang luas serta dilengkapi sistem pendingin hawa automatik, saluran udara untuk barisan tempat duduk belakang, sistem penapisan dan nyahbau udara serta kabel pengecasan pelbagai fungsi.

Green SM akan menyerahkan kumpulan pertama sebanyak 500 unit Limo Green kepada pemandu di Jakarta dari 19 hingga 29 Sept di Depot Green SM Kemayoran.

Sempena pelancaran, pengguna kali pertama Green Limo boleh menikmati diskaun 20 peratus sehingga IDR50,000 (kira-kira RM11.45) bagi perjalanan antara 19 Sept dan 3 Okt.

Pada masa sama, Green SM memperkenalkan program “Rent a VinFast. Become a Green SM Driver. Be Your Own Boss”, dengan bayaran permulaan serendah IDR2 juta (kira-kira RM458) dan kadar sewaan bermula IDR254,000 sehari (sekitar RM58).

Pilihan kenderaan merangkumi Limo Green, VF e34/Nerio Green, VF 5/Herio Green dan VF 6. Rakan pemandu turut berpeluang menerima perkongsian hasil sehingga 92 peratus serta pendapatan harian dijamin sehingga IDR400,000 (kira-kira RM92) bagi dua bulan pertama, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Insentif lain termasuk bonus pendaftaran IDR1 juta (RM229) sebulan, bonus jenama IDR676,000 (RM155) sebulan dan bonus operasi sehingga IDR1.34 juta (RM307) sebulan. Rakan pemandu juga menikmati pengecasan percuma di stesen pengecasan V-Green.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Green SM, Pham Nhat Minh Hoang berkata Green Limo menyediakan pilihan mobiliti yang menitikberatkan ruang dan keselesaan, manakala program sewaan baharu memberi lebih banyak peluang kepada rakan pemandu menjana pendapatan menggunakan kenderaan elektrik VinFast.

Green SM berkata operasi globalnya telah merekodkan kira-kira 850 juta perjalanan dengan jarak hampir enam bilion kilometer, sekali gus membantu mengurangkan lebih 800,000 tan pelepasan karbon dioksida.

-NIAGATIMES

IMG_8603.jpeg