Festival makanan tepi pantai Sentosa GrillFest kembali untuk edisi kesembilan di Pantai Siloso dari 23 Julai hingga 16 Ogos ini dengan menampilkan pengalaman gastronomi yang lebih besar dan pelbagai, termasuk konsep santapan omakase buat julung kali.
Disokong Lembaga Pelancongan Singapura (STB), festival yang mula diperkenalkan pada 2017 itu telah menarik hampir 800,000 pengunjung dan tahun ini menghimpunkan 42 vendor merentasi lima zon, termasuk 18 penyertaan baharu serta beberapa jenama yang menjadi pilihan ramai pada edisi terdahulu.
Penganjur berkata Sentosa GrillFest 2026 menawarkan pelbagai hidangan berasaskan teknik masakan api terbuka selain pengalaman santapan di tepi pantai yang dipertingkatkan, dengan festival itu turut mesra keluarga serta membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan.
Antara tarikan utama ialah Chef’s Grill, konsep santapan lapan hidangan berinspirasikan omakase yang diperkenalkan buat kali pertama hasil kerjasama dengan Persatuan Cef Singapura (Singapore Chefs’ Association).
Diadakan dalam khemah berhawa dingin, pengalaman eksklusif itu membolehkan pengunjung menyaksikan demonstrasi teknik memasak menggunakan api terbuka oleh cef tempatan, dengan tiga vendor utama iaitu Sentosa Golf Club, R&B Grill Bar dan ASAP & CO mengambil bahagian sepanjang festival, manakala vendor jemputan akan bertukar setiap minggu.
Chef’s Grill turut menjadi acara penutup bagi Festival Cef Singapura yang julung kali dianjurkan.
Sementara itu, Marketplace by Indoguna kembali dengan konsep yang dipertingkatkan menerusi penekanan kepada penggunaan bahan tempatan dan sumber makanan lestari.
Pengunjung berpeluang memilih sendiri daging segar, makanan laut, sayur-sayuran dan produk gourmet sebelum ia dimasak mengikut tempahan menggunakan pelbagai teknik seperti memanggang, mengasap dan membakar secara langsung.
Ruang itu turut menawarkan produk artisan, sos, rempah dan makanan sedia dimasak, selain gerai fotografi bacaan aura sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung.
Bagi pengunjung yang ingin menikmati suasana santai pada waktu senja, Sunset Lounge by Asahi menyediakan pengalaman bersantai di tepi pantai lengkap dengan persembahan cakera padat (DJ) dan muzik secara langsung.
Festival itu turut mengekalkan tiga zon utama iaitu Local Grills, International Grills dan Beachside Grills, yang menampilkan pelbagai pilihan hidangan tempatan dan antarabangsa.
Antara vendor yang kembali menyertai festival ialah Slurp Your Oysters, Craft’ B, DAMN, Jett BBQ dan Smok Hous, manakala penyertaan baharu termasuk Cow Bae, Umi Matsuri, 8 Degree Taiwanese Bistro, Smokin’ Joe dan ChillBro.
Selain sajian makanan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan hiburan sepanjang festival, termasuk persembahan kumpulan jazz Korea, ZIP4, pada 26 Julai menerusi kerjasama Kedutaan Republik Korea di Singapura.
Dalam aspek kelestarian, Sentosa GrillFest 2026 buat pertama kalinya menggunakan tenaga bateri dan solar bagi membekalkan kuasa kepada pavilion Chef’s Grill serta pencahayaan festival, sekali gus mengurangkan penggunaan sumber tenaga konvensional dan pelepasan karbon.
Penganjur turut meneruskan amalan mengurangkan penggunaan bahan pakai buang dengan mewajibkan semua vendor menggunakan pembungkusan dan peralatan makan yang boleh dikompos.
Dari segi kemudahan, laluan khas untuk pengguna kerusi roda dan keluarga yang menggunakan kereta sorong bayi serta tempat duduk keutamaan bagi pengunjung yang mempunyai masalah mobiliti turut disediakan di seluruh kawasan festival.
Sentosa GrillFest 2026 berlangsung dari pukul 4 petang hingga 10.30 malam di Pantai Siloso pada hujung minggu terpilih bermula 23 Julai hingga 16 Ogos.
-NIAGATIMES



















































