Malaysia menerima kunjungan pertama delegasi profesional penjagaan kesihatan dari Uzbekistan dan Kazakhstan menerusi Program Lawatan Suai Kenal Pelancongan Perubatan yang dianjurkan bersama oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) dan Tourism Malaysia bagi memperkukuh kerjasama profesional serta memperluas peluang rujukan pesakit antara kedua-dua rantau.
Program yang berlangsung dari 3 hingga 10 Ogos itu menghimpunkan 16 profesional kesihatan terdiri daripada doktor, profesor dan pakar perubatan kanan dari kedua-dua negara untuk meninjau ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta pendekatan negara dalam pelancongan kesihatan.
Sepanjang lawatan, delegasi akan mengunjungi empat hospital swasta utama iaitu Gleneagles Hospital Kuala Lumpur, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Prince Court Medical Centre dan Sunway Medical Centre bagi bertukar pandangan mengenai kecemerlangan klinikal, standard kualiti penjagaan kesihatan, pengurusan pesakit antarabangsa dan penyampaian perkhidmatan kepada pesakit luar negara.
Inisiatif itu dilaksanakan ketika permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan Malaysia dari Asia Tengah terus meningkat. Pada 2025, hasil pelancongan kesihatan dari Kazakhstan meningkat 29.4 peratus kepada kira-kira AS$520,000 (RM2.21 juta) berbanding AS$400,000 (RM1.70 juta) pada tahun sebelumnya, manakala Uzbekistan mencatat pertumbuhan 30.8 peratus kepada AS$400,000 (RM1.70 juta) daripada AS$305,000 (RM1.30 juta).
Malaysia kini menerima kira-kira 1.84 juta pesakit antarabangsa setiap tahun dengan menjana lebih AS$770 juta (RM3.27 bilion) hasil pelancongan kesihatan. Negara turut mempunyai lebih 90 hospital dan penyedia perkhidmatan kesihatan rakan yang menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang termasuk kardiologi, onkologi, ortopedik, rawatan kesuburan dan pergigian.
Ketua Pegawai Eksekutif MHTC, Datuk Suriaghandi Suppiah berkata program itu mencerminkan komitmen MHTC untuk memperkukuh hubungan dengan komuniti perubatan di pasaran baharu, selain meningkatkan kesedaran mengenai keupayaan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dalam kalangan pembuat keputusan sektor kesihatan.
Beliau berkata, kepercayaan menjadi asas kepada setiap perjalanan penjagaan kesihatan, justeru pengalaman secara langsung terhadap ekosistem penjagaan kesihatan Malaysia diharap dapat mewujudkan hubungan berteraskan keyakinan, perkongsian ilmu dan komitmen terhadap kebajikan pesakit, selaras dengan konsep Healing Meets Hospitality.
Selain lawatan profesional, delegasi turut dibawa melawat Kuala Lumpur, Melaka dan Putrajaya bagi memperkenalkan warisan budaya, hospitaliti serta kemudahan moden Malaysia sebagai nilai tambah kepada pengalaman pelancongan kesihatan negara.
-NIAGATIMES



















































