PMKS terus jadi tumpuan besar kerajaan dalam Belanjawan 2025

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang menyediakan kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi kerajaan secara keseluruhannya berjumlah RM40 bilion.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, Belanjawan 2025 menterjemahkan tumpuan yang lebih besar pada kesejahteraan rakyat, mengutamakan perlindungan golongan rentan, menambah baik prasarana asas dan menangani ketidakcekapan seperti rasuah dan ketirisan sumber.

“Antara insentif yang dapat dimanfaatkan menerusi KUSKOP dan agensi-agensi di bawahnya dalam Belanjawan 2025 ialah:

1) Pinjaman bersaiz mikro tersedia sehingga RM3.2 bilion antaranya oleh TEKUN dan BSN bagi membantu penjaja kecil termasuk komuniti OKU, masyarakat Cina serta Bumiputera

2) Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan SME Bank menawarkan pembiayaan khusus kepada PMKS halal dengan dana tersedia hampir RM600 juta

3) Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) disediakan RM20 juta untuk terus menggalakkan generasi belia menceburi bidang perniagaan

4) Kerajaan terus menyokong aktiviti perniagaan badan-badan koperasi termasuk menyediakan modal pusingan. Dana pembiayaan sehingga RM100 juta disediakan di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia

5) Sejumlah RM470 juta dana pembiayaan disediakan oleh SME Bank, BSN, Bank Rakyat dan MARA dalam menyokong PMKS wanita mendapatkan modal kerja, membeli aset dan seterusnya meningkatkan kapasiti perniagaan ke tahap lebih tinggi

6) RM100 juta disediakan bagi:

– membina gerai-gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di semua PBT seluruh negara
– menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak; serta
– menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah DBKL dan MARA

7) RM700 juta dikhususkan untuk memperbanyak saluran program kos sara hidup lain bagi mengawal harga barang termasuk melalui usaha sama dengan pengusaha pasar raya, 88 pasar borong, kedai runcit, pasar tani, koperasi dan sebagainya

8) UDA dengan dana RM200 juta akan terus menumpukan pembangunan rumah mampu milik untuk rakyat di tanah-tanah wakaf

9) Bagi memelihara modal insan, sosial dan kebajikan masyarakat, RM130 juta ringgit disediakan khusus untuk melaksanakan pelbagai program termasuk pembiayaan perniagaan komuniti India

10) Ke arah pelaksanaan sepenuhnya e-Invois pada 1 Julai 2025, Kerajaan bercadang perbelanjaan bagi pembelian peralatan ICT, pakej perisian komputer dan fi perundingan diberikan elaun modal dipercepatkan untuk dituntut sepenuhnya dalam tempoh 2 tahun

11) Bagi memanfaatkan kontrak senggara, program baharu PROTEGE–Veteran akan diperkenalkan khusus untuk mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan untuk veteran ATM terutamanya yang punyai kelayakan TVET

12) Bagi meningkatkan kapasiti perniagaan PMKS dengan beralih ke arah pendigitalan: 50 juta ringgit disediakan sebagai Geran Padanan Digital PMKS dan Geran Digital Penjaja di bawah BSN

13) Pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas surat cara perjanjian pinjaman atau pembiayaan yang disempurnakan PMKS dengan pelabur melalui platform Initial Exchange Offering (IEO) mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2026

14) RM800 juta pembiayaan di bawah MARA dan PUNB tersedia untuk lebih ramai usahawan Bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Ewon, seluruh warga KUSKOP komited melaksanakan inisiatif Belanjawan 2025 yang diperuntukan dan memastikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran dilaksanakan dan memberi manfaat yang sewajarnya kepada rakyat.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-Ewon.jpg