Sebanyak 40 usahawan mikro tempatan diberi peluang menembusi pasaran acara antarabangsa menerusi penyertaan di Litar Rasa MADANI, G Hillstand sempena Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026.
Inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) itu menawarkan kelebihan ketara kepada peserta apabila mereka tidak dikenakan sewa tapak dan komisen jualan, berbanding kadar komersial di lokasi berkenaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, kadar sewa komersial bagi tempoh tiga hari di G Hillstand adalah lebih RM6,000, tidak termasuk SST, selain mengenakan komisen 15 peratus daripada jualan kasar.
“Sebaliknya, 40 usahawan yang menyertai Litar Rasa MADANI hanya perlu membayar RM180 untuk lesen perniagaan kepada Majlis Perbandaran Sepang.
“Tapak juga disediakan dengan kemudahan asas seperti khemah, meja, kerusi, peti penyejuk dan kipas, membolehkan usahawan memberi tumpuan kepada stok, pekerja serta operasi jualan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan itu memastikan acara bertaraf dunia seperti Formula 1 turut memberi manfaat secara langsung kepada perusahaan mikro dan kecil tempatan.
Sepanjang tiga hari, sebanyak 40 gerai menawarkan lebih 100 pilihan makanan dan minuman, termasuk nasi lemak ayam rendang, nasi kerabu, laksa, patin tempoyak dan keropok lekor pada harga berpatutan.
Inisiatif itu turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila keseluruhan jualan makanan dan minuman di G Hillstand mencapai RM555,000, melepasi sasaran awal RM500,000.
Sim berkata kejayaan berkenaan membuktikan pengurangan halangan kos mampu membuka akses pasaran yang lebih luas kepada usahawan kecil.
KUSKOP akan terus memperluas peluang seumpama itu supaya lebih banyak perusahaan mikro dan kecil dapat menyertai acara berskala besar serta menikmati limpahan ekonomi daripada aktiviti bertaraf antarabangsa.
-NIAGATIMES




















































