Exchange 106 perkukuh infrastruktur digital dengan teknologi 5G

Exchange 106, mercu tanda setinggi 454 meter di pusat kewangan antarabangsa Tun Razak Exchange (TRX), bakal menjadi bangunan pencakar langit pertama di Malaysia yang dilengkapi liputan 5G sepenuhnya menerusi kerjasama strategik bersama U Mobile dan EdgePoint Towers Sdn Bhd (EdgePoint).

Projek berkenaan dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada suku keempat 2026, dengan pembangunan infrastruktur In-Building Coverage (IBC) seluas 453,885 meter persegi bagi menyediakan sambungan berkelajuan tinggi dan latensi rendah kepada penyewa korporat serta pengguna bangunan.

Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan Hashim berkata, keperluan terhadap kesalinghubungan digital yang pantas dan stabil kini menjadi sebahagian penting dalam operasi perniagaan moden, khususnya apabila syarikat semakin bergantung kepada pengkomputeran awan, analitik data masa nyata dan ekosistem Internet Pelbagai Benda (IoT).

Menurutnya, penyepaduan infrastruktur 5G secara menyeluruh akan membantu memastikan Exchange 106 kekal relevan dengan keperluan perniagaan yang semakin berorientasikan digital.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile Woon Ooi Yuen berkata, teknologi ULTRA5G syarikat itu akan menyediakan asas kepada pelbagai aplikasi digital dalam bangunan, termasuk sistem parkir pintar, kawalan akses dan IoT.

EdgePoint pula dilantik bagi mereka bentuk dan melaksanakan infrastruktur IBC kompleks tersebut, merangkumi lebih 900 antena di seluruh tingkat bangunan, termasuk kawasan lif dan tempat letak kereta.

Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint, Muniff Kamaruddin berkata, reka bentuk sistem itu mengambil kira skala, tahap kerumitan serta kepadatan pengguna Exchange 106 bagi memenuhi peningkatan keperluan kesalinghubungan perusahaan.

Kerjasama berkenaan sekali gus memperkukuh kedudukan Exchange 106 sebagai destinasi korporat berorientasikan masa depan, selain menyediakan persekitaran digital yang menyokong produktiviti, kecekapan dan kesinambungan operasi perniagaan.

-NIAGATIMES

Exchange-106.jpg