AAR 2026 buka ruang usahawan seni ASEAN tembusi pasaran serantau

ASEAN Artpreneur Retreat 2026 (AAR 2026) menjadi platform bagi memperkasa usahawan seni dan bakat kreatif rantau ASEAN dalam mengembangkan idea kreatif kepada produk serta perkhidmatan yang berdaya saing di pasaran.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara itu berlangsung selama 15 hari dari 5 hingga 19 Okt di Kuala Lumpur, dengan tema ‘Innovate and Elevate’.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man berkata, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan produk, kesediaan pasaran, pengkomersialan serta pembentukan model perniagaan yang mampan.

Beliau berkata, peserta berpeluang mengikuti sesi bimbingan, perkongsian ilmu dan dialog kreatif bersama penggiat industri serta pakar bidang bagi memperkukuh keupayaan keusahawanan masing-masing.

Majlis pelancaran AAR 2026 diadakan di HEMISFERA Luxury Sky Hall, Menara Kuala Lumpur dan turut dihadiri Ketua Setiausaha MOTAC Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) Dr Jalaini Abu Hassan serta Ketua Pengarah LPSVN Amerrudin Ahmad.

Program itu turut menghimpunkan alumni inisiatif Young Art Entrepreneur (YAE!) Balai Seni Negara yang berperanan sebagai mentor rakan sebaya, khususnya dalam aspek penjenamaan, pemasaran dan pengembangan pengeluaran.

Selaras Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027, peserta turut diminta menghasilkan produk atau perkhidmatan baharu berasaskan aset budaya tempatan bagi memperkaya pengalaman pelancong serta membuka peluang ekonomi kepada komuniti kreatif.

Program itu akan diakhiri dengan pameran produk komersial yang mengetengahkan hasil idea peserta dan potensi pasaran karya kreatif mereka.

AAR 2026 mencerminkan komitmen MOTAC memperkukuh kerjasama serantau selain memperluas peluang ekonomi yang inklusif dan mampan menerusi seni dan budaya.

-NIAGATIMES

AAR-2026.jpeg