57 peratus PKS Malaysia utamakan pertumbuhan hasil pada 2026

Pertumbuhan hasil dan peningkatan kecekapan menjadi dua keutamaan utama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia pada 2026, ketika perniagaan berdepan peningkatan kos, kekangan tenaga kerja serta persekitaran operasi yang semakin kompleks.

Menurut laporan Malaysia SME Business Outlook 2026 oleh Airwallex, sebanyak 57 peratus PKS menyenaraikan pertumbuhan hasil sebagai keutamaan, manakala 55 peratus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan. Sebanyak 35 peratus pula mahu memperkenalkan produk atau perkhidmatan baharu.

Laporan itu turut menunjukkan tekanan kos kekal sebagai cabaran terbesar dengan 67 peratus responden menyatakan peningkatan kos sebagai masalah utama, diikuti ketersediaan tenaga kerja sesuai (43 peratus) dan pengurusan aliran tunai (42 peratus).

Bagi menangani tekanan berkenaan, 47 peratus PKS mencari pembekal alternatif, 41 peratus melakukan penstrukturan semula dan 38 peratus mengoptimumkan operasi menerusi teknologi.

Dalam pada itu, usaha pengembangan ke pasaran luar turut mendapat perhatian apabila 63 peratus PKS merancang memperluas aktiviti pemasaran, 61 peratus membentuk perkongsian baharu dan 55 peratus meningkatkan saiz pasukan bagi menyokong pengembangan.

Bagaimanapun, pematuhan undang-undang, peraturan dan keperluan pematuhan menjadi cabaran utama pengembangan luar negara, masing-masing dengan 51 peratus responden.

Dari aspek pendigitalan, 54 peratus PKS telah menggunakan platform digital atau fintech, dengan transaksi lebih pantas (66 peratus), kemudahan (64 peratus) dan penjimatan kos (53 peratus) antara faktor utama penggunaannya.

Laporan itu berdasarkan kajian Vase.ai terhadap 415 responden PKS di Malaysia daripada pelbagai sektor yang dijalankan pada separuh pertama 2026.

-NIAGATIMES

pks-Malaysia-GAMBAR-HIASAN-kredit-SME-Corp.jpg