RM6.78 bilion jualan MIHAS 2026 bukti potensi besar industri halal

Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 merekodkan jualan RM6.78 bilion sepanjang empat hari penganjurannya dari 23 hingga 26 September lepas, meningkat RM730 juta atau 12 peratus berbanding RM6.05 bilion tahun lalu.

Nilai berkenaan turut mengatasi sasaran RM5 bilion yang ditetapkan bagi edisi kali ini sebanyak RM1.78 bilion atau 35.5 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan MIHAS sebagai platform perdagangan yang menghubungkan perniagaan Malaysia dengan pasaran antarabangsa.

MIHAS 2026 turut mencatat peningkatan ketara dari segi penyertaan apabila menerima 69,104 pengunjung dari 93 negara, berbanding 50,340 pengunjung pada 2025, manakala pempamer dan pembeli Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) hadir dari 58 negara.

INSP menyumbang RM4.02 bilion kepada keseluruhan jualan, meningkat 10.9 peratus daripada RM3.63 bilion pada tahun sebelumnya, manakala pameran MIHAS menjana kira-kira RM1.99 bilion, naik 5.5 peratus daripada RM1.89 bilion.

Produk utama yang mencatat permintaan termasuk makanan diproses, teknologi makanan dan pembungkusan, makanan sejuk beku serta baja dan agrokimia.

Dalam pada itu, penyertaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia turut menunjukkan perkembangan positif dengan menjana RM620 juta jualan, meningkat 11.3 peratus daripada RM557 juta pada 2025.

Jumlah PKS yang menyertai MIHAS juga melonjak daripada 64 syarikat pada 2021 kepada 339 syarikat tahun ini, peningkatan 429.7 peratus dalam tempoh enam edisi.

Transformasi digital turut menjadi antara tumpuan MIHAS 2026 menerusi penerapan Agentik AI yang menghasilkan lebih 22,000 pertemuan perniagaan dibantu AI.

Sebanyak 324 padanan daripada jumlah itu berjaya menghasilkan nilai jualan RM28 juta, manakala platform berkenaan akan terus beroperasi sehingga 2027 bagi membolehkan hubungan perniagaan dan peluang perdagangan diteruskan selepas pameran.

Prestasi itu selari dengan pertumbuhan eksport halal Malaysia yang mencapai RM68.52 bilion pada 2025, meningkat 10.9 peratus daripada RM61.79 bilion pada 2024.

Di bawah RMK13, Malaysia menyasarkan nilai eksport halal RM80 bilion, dengan MIHAS terus memainkan peranan dalam membantu syarikat tempatan, khususnya PKS, memperluas pasaran dan meningkatkan keupayaan eksport.

-NIAGATIMES

MIHAS2026-foto-Matrade.jpg