Usahawan wanita catat potensi jualan eksport RM229 juta di WiEX@MIHAS 2026

Perusahaan diterajui wanita berjaya merekodkan potensi jualan eksport sebanyak RM229 juta menerusi sesi padanan perniagaan dan pameran empat hari di Pavilion Women in Export (WiEX) bersempena Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026.

Pencapaian itu terhasil daripada 215 sesi pertemuan perniagaan (B2B) yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pembeli serta pengedar antarabangsa dari Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan, China, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Myanmar.

Syarikat milik wanita dari Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang menyumbang RM129.84 juta daripada keseluruhan nilai potensi jualan, khususnya menerusi produk konfeksi, makanan ringan, kopi, teh, koko serta pakaian sukan.

Inisiatif yang diterajui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan sokongan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) itu turut menghimpunkan pelbagai kementerian dan agensi di bawah pendekatan Whole-of-Government (WoG).

Antara yang terlibat ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp, Northern Corridor Economic Region (NCER), Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan UDA Holdings Bhd.

Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penglibatan wanita dalam sektor perniagaan memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata berdasarkan Banci Ekonomi 2023 Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), wanita memiliki 20.1 peratus perniagaan di Malaysia, dengan nilai output RM136.9 bilion dan hampir sejuta peluang pekerjaan.

Sementara itu, Presiden HAWA Malaysia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata kemajuan teknologi dalam era Industri 5.0 perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab sosial.

WiEX Forum 2026 yang bertemakan ‘Thriving through Uncertainty: Adapt, Compete, and Grow’ turut menghimpunkan lebih 300 peserta untuk perkongsian strategi menembusi pasaran antarabangsa.

MATRADE berkata kerjasama rentas agensi dan sokongan industri akan terus diperkukuh bagi memperluas pasaran jenama ‘Made by Malaysia’ di peringkat global.

-NIAGATIMES

WiEX-Forum.jpg