Kepler Club, jenama hospitaliti lapangan terbang berasaskan teknologi, kini memperluas operasinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kapasiti penginapan ditingkatkan daripada 64 kepada 148 katil.
Pembukaan rasmi fasiliti berkenaan disempurnakan menerusi acara pemotongan reben yang turut dihadiri Duta Turkiye ke Malaysia, H.E. Nevzat Uyanık; Pengarah Urusan Malaysia Airports, Dato’ Mohd Izani Ghani; serta Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kepler Club, Omer Alaettinoglu.
Antara tarikan utama fasiliti baharu itu ialah reka bentuk kabin dua tingkat DoubleKep yang menyediakan pintu masuk persendirian bagi setiap kabin, yang didakwa pertama seumpamanya dalam terminal lapangan terbang.
Konsep berkenaan menggabungkan privasi seperti bilik hotel dengan penggunaan ruang secara optimum, selain dilengkapi penebat bunyi bagi membolehkan pengguna menikmati sistem audio kabin melalui Bluetooth.
Beroperasi 24 jam dan boleh ditempah mengikut jam, kemudahan itu turut menyediakan ruang rehat dan bekerja, bilik mandi, tandas pintar, loker, Wi-Fi berkelajuan tinggi serta minuman tanpa had.
Proses daftar masuk dan keluar pula boleh dilakukan sepenuhnya secara kendiri melalui kios, manakala aplikasi Kepler membolehkan tetamu membuka pintu kabin tanpa kunci atau kad akses. Petugas penerimaan turut disediakan sepanjang masa bagi mereka yang memerlukan bantuan.
Sejak dilancarkan, Kepler Club KLIA mencatat sambutan positif apabila lokasi Airside memperoleh penarafan 9.2 daripada 10 di Booking.com, sekali gus menjadi penginapan berpenarafan tertinggi dalam kalangan 182 hotel sekitar KLIA, manakala lokasi Landside merekodkan 9.1.
Menerusi platform keahlian yang diperkenalkan pada 2025, pengguna aplikasi boleh memilih suasana seperti Hutan Hujan, Gurun, Lautan, Gunung atau Api untuk menentukan pencahayaan dan bunyi kabin sepanjang penginapan.
Kepler Club turut bekerjasama dengan artis tempatan untuk menampilkan karya seni Malaysia di dalam sebahagian kabinnya.
Alaettinoglu berkata, peluasan itu mencerminkan aspirasi syarikat untuk menjadikan pengalaman berehat di lapangan terbang lebih selesa, mudah dicapai dan didorong inovasi.
Ditubuhkan di Turkiye, Kepler Club kini mengendalikan lima fasiliti di tiga lapangan terbang antarabangsa, termasuk Istanbul Sabiha Gökçen, Lapangan Terbang Antarabangsa Riga dan KLIA.
-NIAGATIMES



















































