Equinix Inc. memperluaskan ketersediaan sambungan Microsoft Azure di pusat data International Business Exchange (IBX) miliknya di Kuala Lumpur, sekali gus memperkukuh infrastruktur digital negara bagi menyokong pembangunan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan aplikasi perusahaan berprestasi tinggi.
Langkah itu membolehkan organisasi di Malaysia mengakses Microsoft Azure melalui sambungan persendirian yang lebih selamat, berlatensi rendah dan berdaya tahan, sekali gus memudahkan pelaksanaan persekitaran hibrid multicloud untuk beban kerja kritikal serta aplikasi AI.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn, berkata Malaysia kini semakin kukuh sebagai destinasi strategik bagi pelaburan AI, teknologi awan dan inovasi digital, dengan Cyberjaya terus memainkan peranan penting sebagai hab infrastruktur digital negara.
Beliau berkata peningkatan penggunaan strategi hibrid multicloud dan AI dalam kalangan perusahaan memerlukan infrastruktur yang mampu menyediakan sambungan fleksibel merentasi pelbagai platform awan tanpa menjejaskan prestasi, keselamatan dan kebolehskalaan.
“Perluasan sambungan Microsoft Azure di Kuala Lumpur membolehkan pelanggan membangunkan infrastruktur digital yang lebih berdaya tahan bagi menyokong aplikasi berintensifkan data dan AI, sekali gus membantu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai hab serantau bagi inovasi AI dan ekonomi digital,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkembangan itu hadir ketika Malaysia giat mempercepat agenda pendigitalan negara menerusi inisiatif seperti Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan MyDIGITAL. Pada 2025, negara merekodkan pelaburan digital yang diluluskan berjumlah RM87.4 bilion, didorong sektor AI, pusat data, perkhidmatan awan dan analitik data.
Equinix kini menyediakan akses kepada beberapa penyedia perkhidmatan awan utama termasuk Microsoft Azure, Alibaba Cloud, Amazon Web Services (AWS) dan Google Cloud, membolehkan perusahaan membangunkan ekosistem hibrid multicloud yang lebih selamat serta mengoptimumkan prestasi aplikasi melalui sambungan persendirian.
Sementara itu, Naib Presiden Korporat merangkap Ketua Pegawai Teknologi Microsoft Asia, Mark Souza, berkata kerjasama antara Microsoft dan Equinix akan membantu organisasi di Malaysia mempercepat penggunaan AI, memodenkan aplikasi serta melaksanakan transformasi perniagaan pada skala lebih besar menerusi infrastruktur digital yang selamat dan boleh dipercayai.
Pengumuman itu turut menyusuli rancangan Equinix membangunkan pusat data IBX baharu yang bersedia untuk AI di Cyberjaya, dikenali sebagai KL2. Apabila siap sepenuhnya, kemudahan itu dijangka mampu menempatkan lebih 2,200 kabinet bagi menyokong pertumbuhan aplikasi AI, hibrid multicloud dan beban kerja berintensifkan data, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan ekonomi digital Malaysia.
-NIAGATIMES



















































