AOX 2026 pacu kerjasama industri pacuan empat roda, mobiliti mampan

Malaysia berpeluang muncul sebagai pusat utama industri pacuan empat roda dan mobiliti pengembaraan Asia menerusi lima resolusi strategik yang dibentangkan pada Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026.

Resolusi itu merangkumi aspek keselamatan jalan raya, pemuliharaan alam sekitar, pembangunan rangkaian pembuatan dan pengedaran, penyelarasan piawaian industri serta penerapan teknologi elektrifikasi.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur AOX, Thomas Foo berkata, platform berkenaan bertujuan memperkukuh kerjasama antara pemain industri, agensi kerajaan, penyedia teknologi dan sektor pelancongan bagi mengembangkan ekosistem mobiliti pengembaraan di rantau ini.

Lima resolusi itu masing-masing melibatkan cadangan daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Institut ESG Malaysia (MiESG), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Victron Energy dan Surron.

MIROS mengetengahkan kepentingan pendidikan serta kesedaran keselamatan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan pacuan empat roda secara berhemah, manakala MiESG mencadangkan piagam pengembaraan bertanggungjawab yang menekankan perlindungan habitat, pengurusan sisa dan penghormatan terhadap komuniti setempat.

Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia pula mencadangkan pembangunan Asia sebagai hab pembuatan dan pengedaran global bagi memperluas peluang perniagaan, mengukuhkan rantaian bekalan serta meningkatkan akses kepada pasaran antarabangsa.

Sementara itu, kerangka penyelarasan piawaian keselamatan, pematuhan dan kualiti yang dicadangkan dengan penglibatan Victron Energy bertujuan menggalakkan kerjasama dalam aspek keperluan teknikal, kualiti produk dan penyelenggaraan.

Resolusi kelima pula memberi tumpuan kepada elektrifikasi dan mobiliti pengembaraan mampan, termasuk penerokaan teknologi elektrik, infrastruktur pengecasan, keselamatan bateri serta pengurusan bateri selepas tamat hayat penggunaannya.

Dianjurkan Explorer Outfitter Sdn Bhd, AOX 2026 berlangsung dari 23 hingga 25 Okt di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menghimpunkan pengeluar, pengedar, komuniti pengembaraan dan penggiat industri tempatan serta antarabangsa.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Tan Mei Shin, Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS Zulhaidi Mohd Jawi serta Presiden MiESG Muhammad Sarhan Ismail.

-NIAGATIMES

Lima-resolusi-strategik-yang-diketengahkan-pada-AOX-2026-bagi-.Malaysia-berpotensi-memperkukuh-potensi-dan-kedudukan-Malaysia-sebagai-hab-industri-pacuan-empat-roda-dan-mobiliti-pengembaraan-Asia.jpeg