Steven Sim ketuai misi KUSKOP ke Guangzhou, 12 PMKS sasar RM150 juta

Sebanyak 12 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi Malaysia menyasarkan potensi jualan dan kerjasama perniagaan sehingga RM150 juta menerusi penyertaan dalam China International Small and Medium Enterprises Fair (CISMEF) di Guangzhou, China.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong akan mengetuai delegasi Malaysia ke Guangzhou dari 1 hingga 5 September sempena Misi Perdagangan Khas KUSKOP, selain menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC (APEC SMEMM) Ke-32.

Beliau berkata misi berkenaan memberi ruang kepada PMKS tempatan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman serta produk kesihatan, untuk meneroka pasaran, pembeli dan rakan strategik baharu di China.

“Fokus kita sangat jelas, cari pembeli dan rakan perniagaan baharu untuk syarikat Malaysia, pada masa sama mengenal pasti teknologi dan model yang boleh membantu PMKS kita meningkatkan keupayaan untuk eksport,” katanya.

Menurut beliau, KUSKOP turut akan bekerjasama dengan MATRADE dan MIDA Guangzhou bagi mengenal pasti peluang bersama pembeli, pengedar, platform e-dagang serta pelabur dari wilayah Guangdong.

Usaha itu juga merangkumi penerokaan peluang pelaburan dari Guangdong ke Malaysia yang mampu memberi manfaat langsung kepada PMKS tempatan sebagai pembekal, pengedar, rakan teknologi atau penyedia perkhidmatan.

Dalam agenda pendigitalan, delegasi KUSKOP akan mengadakan libat urus dengan Alibaba South China Operations Centre bagi meneroka kerjasama berkaitan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, analitik data, e-dagang rentas sempadan dan logistik pintar.

Antara inisiatif yang bakal diteroka termasuk membantu PMKS Malaysia menyertai ekosistem B2B global, meningkatkan kemahiran digital serta memperkukuh keupayaan gudang, pemenuhan pesanan dan penghantaran rentas sempadan.

Steven turut dijadual merasmikan Pavilion Malaysia di CISMEF yang tahun ini menghimpunkan lebih 1,000 perusahaan dan institusi China bertemakan “AI Empowering SMEs”.

Beliau seterusnya akan mewakili Malaysia pada APEC SMEMM Ke-32 pada 4 September, sebelum susulan dibuat terhadap peluang perniagaan, pelaburan dan kerjasama teknologi yang dikenal pasti sepanjang misi.

-NIAGATIMES

Steven-Sim-foto-KUSKOP-2.jpeg