PETRONAS sasar keputusan pelaburan huluan lebih pantas menerusi Agentic AI

PETRONAS menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM) mengambil langkah memperkukuh ekosistem pelaburan sektor huluan negara dengan meningkatkan keupayaan platform PETRONAS myPROdata melalui penerapan teknologi Kecerdasan Buatan Agen (Agentic AI).

Langkah itu direalisasikan menerusi perjanjian yang ditandatangani bersama Iraya Energies Sdn Bhd (Iraya Energies), dengan matlamat menyediakan akses dan analisis data eksplorasi serta pengeluaran petroleum Malaysia yang lebih pantas dan bersepadu kepada pelabur dan pemain industri.

PETRONAS myPROdata merupakan platform berasaskan web yang menyediakan pelbagai data penting berkaitan permukaan dan bawah permukaan, termasuk blok eksplorasi, sumber yang telah ditemui serta medan pengeluaran petroleum di Malaysia.

Dengan penambahbaikan itu, data geologi, geofizik, kejuruteraan dan maklumat berkaitan akan digabungkan dengan keupayaan Agentic AI yang boleh menganalisis serta menghubungkan pelbagai sumber data secara autonomi.

Keupayaan berkenaan membolehkan pengguna menelusuri data huluan yang kompleks, menjalankan analisis dan mendapatkan maklumat bernilai dengan lebih cekap bagi membantu mereka menilai potensi pelaburan.

Naib Presiden Kanan MPM Datuk Ir. (Dr) Bacho Pilong berkata peningkatan keupayaan myPROdata itu akan membolehkan pelabur menilai peluang sektor huluan Malaysia dengan lebih pantas dan yakin.

“Penggabungan data yang dipercayai dengan kecerdasan berasaskan AI akan membantu mempercepatkan proses membuat keputusan pelaburan yang lebih berinformasi.

“Ini selaras dengan aspirasi PETRONAS untuk menarik kira-kira RM50 bilion hingga RM60 bilion pelaburan huluan setiap tahun, selain mengurangkan tempoh daripada penemuan kepada pengeluaran hidrokarbon pertama daripada 100 bulan kepada 50 bulan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan berkenaan dijangka terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan huluan yang berdaya saing serta bersedia menghadapi perkembangan teknologi masa depan.

Menurut kenyataan itu, Iraya Energies dilantik sebagai Consortium Lead Integrator di bawah perjanjian berkenaan dan bertanggungjawab membangunkan asas teknikal, komersial serta keselamatan yang diperlukan bagi penyampaian maklumat berasaskan AI.

Peranan itu turut merangkumi usaha menyokong peluasan pelaksanaan program tersebut pada skala lebih menyeluruh.

Inisiatif berkenaan mencerminkan peranan MPM sebagai pembentuk, pemacu dan pengawal selia industri huluan Malaysia, khususnya dalam memperkukuh ekosistem pelaburan serta menyokong pertumbuhan dan pembangunan sumber hidrokarbon negara secara bertanggungjawab.

-NIAGATIMES

PETRONAS-myPROdata-Signing.jpg