Ekspo IP Taiwan 2026 di Malaysia yang berlangsung di Oasis Avenue, Sunway Pyramid membuka lembaran baharu dalam kerjasama industri kreatif antara Taiwan dan Malaysia menerusi penglibatan pelbagai pemegang taruh harta intelek (IP) dari kedua-dua negara.
Program anjuran Taiwan Creative Content Agency (TAICCA) dengan kerjasama Malaysia Creative Intellectual Property (MYCIP) itu mengetengahkan 12 IP karakter asli Taiwan serta 12 projek kolaborasi rentas sempadan Taiwan-Malaysia yang dipamerkan buat julung kali.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TAICCA, Yang Chung-Tian berkata Malaysia terus dilihat sebagai hab strategik untuk pengembangan IP Taiwan ke rantau Asia Tenggara selain menjadi rakan penting dalam pembangunan kerjasama budaya dan kreatif.
Beliau berkata persamaan budaya serta landskap industri kreatif antara kedua-dua negara memberi keyakinan terhadap potensi besar dalam aspek pelesenan IP dan pertukaran industri pada masa depan.
“Selain membawa masuk IP karakter asli Taiwan ke Malaysia, tahun ini kami memberi penekanan lebih besar kepada pemadanan perniagaan, kerjasama dagang dan kolaborasi rentas sempadan bagi membantu IP Taiwan menembusi pasaran serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Antara IP yang diketengahkan termasuk Kittensisland, yang pernah mencatat jualan tinggi pada edisi lalu di Malaysia, Takokuma yang berjaya memasuki pasaran Jepun dan Korea Selatan menerusi animasi dan ilustrasi asli, serta Kuroro Space Exploration Team yang memiliki pengikut di beberapa negara termasuk Thailand, Australia, Singapura dan Malaysia.
Selain pameran produk dan barangan eksklusif, ekspo itu turut memberi tumpuan kepada aspek komersial melalui penglibatan aktif bersama pengguna, pencipta kandungan serta rakan niaga tempatan.
Sementara itu, Presiden MYCIP, Lau Shaw Ming berkata penganjuran Pameran Seni Rentas Taiwan-Malaysia buat pertama kali menjadi platform penting dalam memperlihatkan potensi kolaborasi kreatif dan pelesenan IP antara kedua-dua negara.
Beliau berkata projek itu menghimpunkan karya kreatif daripada artis dan pereka Taiwan bersama bakat tempatan termasuk Bichi Mao, Relaxed Comics dan Jefferson Ng.
“Malaysia mempunyai bakat kreatif yang kukuh manakala Taiwan pula berpengalaman luas dalam pembangunan dan pengembangan IP ke peringkat antarabangsa. Gabungan ini mampu membuka lebih banyak peluang kerjasama jenama serta pembangunan produk pada masa depan,” katanya.
Ekspo lima hari itu turut menampilkan sesi pemadanan perniagaan melibatkan industri penjenamaan, penerbitan, pelesenan, kandungan kreatif dan peruncitan, sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap kandungan berlesen di Asia Tenggara.
Pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan berasaskan teknologi realiti terimbuh (AR), penampilan maskot karakter, sesi perkongsian pencipta kandungan dan pameran koleksi eksklusif.
Ekspo yang berlangsung sehingga 24 Mei ini dibuka kepada orang ramai dan dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh ekosistem kreatif serantau serta memperluas jaringan industri IP antara Taiwan dan Asia Tenggara.
-NIAGATIMES





















































