RADIANCE ASSETS SASAR BINA EMPAYAR FINTECH TEMPATAN

Sekilas melihat pada penampilannya, pasti sudah boleh menjangka bahawa Mohd Ezman Zamani dibesarkan dalam keluarga kelas pertengahan. Minat Ezman dalam mengembara sedikit sebanyak telah membuka jalan kepadanya untuk mempelajari lebih banyak peluang perniagaan dan memperoleh pengalaman berharga. Usahawan serba boleh ini tampil dalam temu bual bersama-sama NiagaTimes bagi berkongsi visi syarikat yang baharu ditubuhkannya, Radiance Assets Berhad, termasuklah perancangan perniagaan dan kesungguhan bagi membantu kakitangannya tampil lebih baik dan berjaya dalam kerjaya mereka.

“Saya berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kesihatan Pekerjaan dan Persekitaran dengan jurusan Kualiti Udara Dalaman. Saya juga pernah menggalas peranan selaku Ketua Pegawai Pemasaran Bacera Co Ltd, yang merupakan salah satu institusi kewangan multinasional terkemuka di Sydney, Australia,” katanya.

Pengalaman hampir 10 tahun yang dimiliki Ezman dalam industri pelaburan ketika itu secara tidak langsung menjadi dorongan kepadanya memulakan langkah drastik dan memilih jalan yang tidak disangka-sangka dengan meneroka sektor kewangan. Kemudian pada tahun 2008, Ezman memulakan kerjayanya sebagai Perunding Perniagaan.

“Skop pekerjaan saya memerlukan saya untuk fokus pada bidang seperti pengembangan perniagaan, pengurusan korporat, pelancongan dan pembinaan pasukan,” jelas Ezman yang telah belajar dan memperoleh banyak pengalaman ketika pembabitan awal kerjayanya.

“Sebagai seorang usahawan, saya telah menempuh banyak cabaran dalam perniagaan ini selama bertahun-tahun. Tetapi saya sangat bersyukur kerana mujurlah ada isteri yang sentiasa menyokong dan mempercayai saya. Dia adalah ‘tulang belakang’ saya dan dialah sumber kekuatan saya untuk terus mara ke hadapan untuk mencapai impian,” katanya.

Radiance Assets Berhad bermula dengan visi untuk mewujudkan gaya hidup yang mengintegrasikan teknologi ke dalam kehidupan pengguna. Justeru itulah Ezman percaya bahawa melalui pelaburan yang tepat dengan orang yang tepat, syarikatnya mampu mencapai visi berkenaan.

“Kita perlu fokus untuk mengintegrasikan dan memiliki penyelesaian berteknologi tinggi. Harapan saya agar syarikat ini dapat mencapai matlamatnya sambil mewujudkan persekitaran yang mampan melibatkan pasukan kami. Saya percaya ia kelak akan memberi inspirasi kepada mereka untuk mengatasi apa-apa sahaja rintangan,” ujarnya penuh berdedikasi.

Syarikat Radiance Assets Berhad memfokuskan pelaburan berkaitan teknologi dan ketika ini, salah satu pelaburan utama mereka ialah teknologi kewangan atau lebih dikenali sebagai Fintech.

“Kami melabur dalam lima sektor utama Fintech iaitu e-wallet, perdagangan digital, kiriman wang, analisis data besar, dan kecerdasan buatan.

“Kami meramalkan bahawa Fintech akan memainkan peranan penting di masa depan. Justeru, kami telah mengorak langkah untuk bekerjasama dengan beberapa syarikat di seluruh dunia untuk mengembangkan pelbagai bidang Fintech seperti kiriman wang, pembiayaan dan teknologi hijau,” katanya.

Tambah Ezman, pintu masuk pembayaran melalui anak syarikat mereka, RediPay juga sudah mula mendapat respons memberangsangkan daripada pedagang-pedagang yang berdaftar. Selain memproses pembayaran digital melalui Redipay, pengguna juga boleh memanfaatkan kad debit atau kredit prabayar hasil kerjasama Radiance Assets Berhad dengan UnionPay dan Gold Bar serta Kasih Gold.

“Perkhidmatan kami yang lain termasuk RediCash, yang bertindak sebagai mekanisme pembiayaan Islam. RediCash juga memberi tumpuan kepada pemulihan aset, pembiayaan aset dan pelupusan aset.

“Perkhidmatan dan pelaburan kami juga terlibat dalam sektor pelancongan, penjagaan kesihatan dan pertanian yang semuanya berkaitan dengan teknologi.

“Kami turut memperluaskan perkhidmatan demi menjangkau lebih banyak sektor untuk mempertahankan dan berusaha untuk kemajuan yang lebih baik. Kunci utamanya adalah kepelbagaian,” tegasnya.

Ezman turut meluaskan pengaruh bisnesnya di bawah jenama Radiance Gerelt Resolt di Mongolia

Kepercayaan Ezman untuk mempelbagaikan pelaburannya dalam pelbagai sektor dianggap penting baginya untuk mencipta lebih banyak peluang yang mahu dikongsikan dengan lebih ramai orang.

“Saya dah tetapkan visi Radiance Assets untuk berkembang dan menjadi lebih besar dalam skala global. Beri saya tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun lagi. Ketika itu, saya mahu kami dikenali bukan sahaja sebagai sebuah empayar perniagaan terbesar, malah juga berjaya.

“Tidak ada yang lebih menggembirakan saya selain dapat membantu keluarga dan menanggung beban kewangan mereka. Kemampuan saya membantu lebih ramai orang selama ini, bagi saya itulah pencapaian terbesar yang membanggakan.

“Malah, saya berbesar hati melihat lebih ramai orang di bawah saya masing-masing kini lebih berjaya. Mereka bermula daripada tiada apa-apa, sekarang lihatlah dah jadi ketua. Ini juga merupakan pencapaian pembangunan manusia bagi saya,” ujarnya dengan bangga.

Khusus untuk mereka di luar sana yang masih tercari-cari hala tuju memulakan perniagaan, Ezman sempat berkongsi panduan dan kata-kata semangat.

“Jika anda berminat untuk memulakan bisnes, jangan teragak-agak. Anda wajar melakukannya. Sekiranya ada orang lain yang membantah, buktikan sahaja bahawa mereka salah dengan kejayaan anda. Semat di dalam diri dengan sentiasa dahagakan kejayaan dan bina jati diri.

“Seandainya anda gagal atau salah, jangan penah sesekali luntur semangat dan jadikanlah orang di sekeliling sebagai batu loncatan untuk membuat anda lebih kuat. Jangan takut kepada mereka. Sentiasa percaya kepada diri sendiri,” katanya.

-NIAGATIMES

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.