MPOB cipta teknologi urus sisa kilang kelapa sawit

Penyelidik dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) yang diketuai oleh Ts. Dr. Nahrul Hayawin Zainal telah mencipta teknologi untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (POME) dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir berkata, teknologi itu yang dikenali Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan ke persekitaran.

Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri-ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi serta kandungan abu yang rendah.

“Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit. Prototaip teknologi ini telah diuji di lapangan dan terbukti berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Parveez, penyelidik MPOB mula menjalankan kajian pada tahun 2019 dan telah melancarkan teknologi tersebut di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021, baru-baru ini.

Bahan buangan POME mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.

Kilang-kilang kelapa sawit perlu merawat POME untuk pemuliharaan alam sekitar dan mematuhi peraturan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan syarat pelesenan MPOB, katanya.

Tambahnya lagi, teknologi untuk merawat POME adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia yang digunakan semasa proses rawatan.

“Teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran,” katanya.

Sebagai pelengkap kepada teknologi ini, MPOB telah membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.

“Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS),” ujarnya.

-NIAGATIMES

Activated-carbon-treatment-system-located-at-KKS-Sua-Betong-Port-Dickson.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.