Exabytes lancar Pusat Kecemerlangan Awan AWS

Dalam langkah penting ke arah memajukan transformasi digital dan inovasi awan di Asia Tenggara, Exabytes telah mengumumkan pelancaran Pusat Kecemerlangan Awan (Cloud Centre of Excellence – CCoE) di Pulau Pinang, yang dibangunkan bersama Amazon Web Services (AWS) dan Forward College.

Inisiatif ini direka untuk memupuk kepakaran awan AWS, mempercepatkan pendigitalan perniagaan, serta membangunkan tenaga kerja yang tersedia untuk masa depan di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Terletak secara strategik di Pulau Pinang yang juga dikenali sebagai “Lembah Silikon” Malaysia, CCoE ini akan berfungsi, sebagai hab inovasi serantau, membantu perniagaan berkembang dengan teknologi AWS, sambil membina aliran bakat awan yang kukuh melalui kerjasama dengan institusi pendidikan terkemuka. Dengan 64% organisasi di Malaysia menghadapi kekurangan kemahiran dari tahap sederhana hingga kritikal, inisiatif ini hadir tepat pada masanya.

“Pelancaran ini menandakan pencapaian penting dalam misi kami untuk membantu perniagaan di rantau ini Grow Digital, sambil membina bakat teknologi yang bersedia demi masa depan,” kata Chan Kee Siak, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes. “Dengan kerjasama rapat bersama AWS dan Forward College, kami menangani dua keperluan mendesak: mempercepatkan penggunaan teknologi awan dan membolehkan lebih ramai belia terutamanya dari komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan mendapat akses kepada kerjaya digital bernilai tinggi.”

Sebagai sebahagian daripada komitmen menyeluruh terhadap pertumbuhan inklusif,  Exabytes turut menyokong 20 pelajar B40 melalui tajaan pendidikan tinggi dengan kerjasama Forward College. Selepas tamat pengajian, syarikat ini komited untuk menawarkan tiga tahun pekerjaan dalam Kumpulan Syarikat Exabytes untuk mewujudkan laluan nyata dari pendidikan ke mobiliti ekonomi.