UOB Malaysia berjaya tetapkan harga Sukuk Wakalah Tahap 2

UOB Malaysia hari ini mengumumkan kejayaan penetapan harga nota jangka sederhana Islam subordinat Tahap 2 selaras dengan keperluan Basel III bernilai RM750 juta (Sukuk Wakalah Tahap 2) pada 19 Jun 2025.

Sukuk ini adalah sebahagian daripada Program Sukuk Wakalah UOB Malaysia bernilai RM5 bilion, yang ditubuhkan pada Januari 2024 di bawah prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Disasarkan pada RM500 juta pada mulanya, tawaran Sukuk Wakalah Tahap 2 dinaikkan kepada RM750 juta berikutan permintaan kukuh daripada lebih 20 pelabur berkualiti tinggi yang terpelbagai termasuk syarikat insurans, pengurus dana, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, bank dan bank swasta.

Sukuk Wakalah Tahap 2 yang ditetapkan pada kadar keuntungan 3.85 peratus setahun, mewakili tebaran (spread) 36 mata asas melebihi penanda aras tujuh tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS). Sukuk ini akan dikeluarkan pada 3 Julai 2025 dan akan matang pada 3 Julai 2037 dengan pilihan untuk menebus pada 2 Julai 2032.

“Kami berbesar hati dapat meraih minat yang begitu kukuh daripada para pelabur untuk tranche kedua program Sukuk Wakalah ini, berikutan kejayaan terbitan sulung kami pada tahun lepas. Terbitan yang diperbesarkan ini menunjukkan keyakinan berterusan terhadap kekuatan kredit dan hala tuju strategik jangka panjang UOB Malaysia.

“Ia juga menggambarkan kedalaman dan kematangan pasaran modal hutang Islam Malaysia, yang terus menarik pangkalan pelabur terpelbagai dan berkualiti tinggi. Justeru itu, hasil ini mengesahkan kedua-dua daya tahan sistem kewangan Malaysia serta keteguhan asas ekonomi negara yang kukuh,” kata Ng Wei Wei, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia.

Sukuk Wakalah Tahap 2, yang telah menerima penarafan AA1 oleh RAM Ratings, layak sebagai Modal Tahap 2 UOB Malaysia pada asas yang disatukan di bawah Rangka Kerja Kecukupan Modal (Komponen Modal) untuk Bank-bank Islam oleh Bank Negara Malaysia.

UOB Malaysia dan CIMB Investment Bank merupakan Pengurus Utama Bersama untuk urus niaga ini.

-NIAGATIMES

gambar-hiasan-kredit-UOB.jpg