Lawatan Presiden China kukuh peluang ekonomi Malaysia di sebalik kekalutan tarif AS

OLEH: MOHD FARID

Pertama sekali, jangan sesekali memandang rendah terhadap kredibiliti dan kuasa Presiden China.

Belum pun beliau jejak Malaysia, keretanya terlebih dulu sampai. Belum juga beliau angkat tangan melambai, 17 laluan utama di Malaysia akan ditutup awal.

Beliau bukannya presiden biasa-biasa. Sebaliknya, inilah presiden negara pengeksport terbesar dunia.

Ramai tak sedar, tetapi waktu lawatan Presiden Xi Jinping ke Malaysia dari 15-17 April ini sangatlah kritikal.

Sekarang, satu dunia tengah kalut dengan tarif 104% yang Presiden Amerika Syarikat (AS), Trump kenakan pada barang China.

Tapi dalam masa sama, Presiden China pula datang ke Malaysia yang merupakan negara yang telah menjadi rakan dagang terbesarnya selama 15 tahun berturut-turut.

Jumlah dagangan dua hala Malaysia-China dah cecah AS$190.24 bilion (RM856.08 bilion)! Bukan angka kecil.

Malaysia eksport litar bersepadu, minyak sawit, komputer, produk plastik dan macam-macam lagi. China pula import besar-besaran dari kita dan jadi transit penting dalam banyak rantaian bekalan dunia.

Jadi apabila AS sekat China, China cari ‘rakan’ baru.

Dan kita sebagai Pengerusi ASEAN, ada peluang besar untuk masuk dalam ‘permainan’ ini, itu pun kalau kita pandai manfaatkan.

Tapi yang paling penting, apabila Presiden China sendiri turun padang, maksudnya beliau memang nak perkukuh hubungan dagang dengan negara-negara yang tak main sekat-sekat macam AS.

Beliau tahu, masa depan bukan pada siapa paling kuat jerit. Tapi siapa paling banyak kawan.

Kita pula, jangan sekadar jadi penonton geopolitik. Bisnes pun kena peka dan wajar tahu arah angin dagang dunia.

Kalau AS tutup pintu, Malaysia mungkin dapat jadi ‘jambatan’. Kita boleh jadi penghubungnya.

Dan kalau anda antara yang bertembung dengan jalan tutup 17 laluan terlibat, janganlah marah sangat. Itu tandanya dunia tengah buka pintu untuk kita.

Antara tarif dan takdir, kita pilih peluang.

-NIAGATIMES

MAS-CHN-kredit-foto-Pjbt-PM.jpg