OLEH: NAQIUDDIN NAZRIN
Baru-baru ini, riuh ekonomi dunia ketika Amerika Syarikat (AS) kenakan tarif ke atas produk dari China. China pula balas dengan mengenakan tarif pada produk dari AS.
Bagaimana pula Malaysia?
Kita sebenarnya tidaklah disasarkan secara langsung. Tapi jangan selesa sangat. Hal ini kerana gelombangnya tetap sampai ke pantai kita.
Apa kesan kepada Malaysia?
1. Rantai bekalan global bergoyang
Banyak syarikat di Malaysia jadi pembekal komponen kepada China. Bila produk akhir China kena tarif di AS, permintaan kepada produk kita pun boleh terjejas.
2. Pelabur jadi berhati-hati
Ketidaktentuan global buat pelabur ‘wait and see’. Ringgit boleh melemah, saham jadi lembap dan pelaburan masuk pun mungkin ditunda dan tertangguh.
3. Peluang tersembunyi
Perkara positifnya, ini masa untuk Malaysia tonjol diri. Apabila syarikat asing nak lari dari tarif, mereka cari tempat baru. Malaysia boleh jadi pilihan — kalau kita tangkas tarik pelaburan dan urus ekonomi dengan pintar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim faham situasi ini.
Dalam mesyuarat ASEAN, beliau gesa negara serantau bersatu dan Malaysia sendiri akan guna pendekatan diplomatik matang untuk tangani ketegangan ini.
Kesimpulannya, Malaysia bukan mangsa secara langsung dalam perang tarif ini. Tetapi kalau kita leka, kita akan kena tempias.
Kalau kita bijak, kita boleh jadi pemain utama.
Persoalannya, kita dah bersedia ke belum?
-NIAGATIMES