MyDST, aplikasi mudah alih dan laman sesawang yang dibangunkan oleh MultiSys Technology Corporation, iaitu pembangun perisian yang terkemuka di Filipina telahpun disiapkan bersama DST dan dilancarkan baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri Radin Basiuni berkata, pembangunan aplikasi semasa ini menonjolkan visi bersama kedua-dua pihak untuk berkembang di rantau ini dan turut melambangkan permulaan untuk banyak lagi pembangunan yang menarik pada aplikasi ini.
“Pembangunan bersama kami merupakan suatu pengalaman yang hebat. Dengan keadaan penggunaan DST, baik DST mahupun MultiSys berupaya untuk memudahkan integrasi rumit yang menghasilkan antara muka yang lebih mesra pengguna untuk perkhidmatan sedia ada mahupun perkhidmatan yang baru ditambah, seraya dapat meningkatkan pengalaman digital pelanggan kami secara keseluruhan,” katanya.
DST dan MultiSys mula mengumumkan kerjasama mereka pada bulan Ogos 2020 memandangkan kedua-duanya berusaha untuk memperluaskan jangkauan pasaran mereka ke rantau Asia Tenggara.
Dengan sinergi tersebut, perkongsian berkenaan mengukuhkan kekuatan syarikat melalui perbezaan budaya, teknologi dan kolaborasi teknikal.
Meskipun dengan jarak dan batasan yang dicetuskan oleh pandemik ini, perkongsian berkenaan membuktikan bahawa terdapat nilai dalam kepelbagaian.
MyDST bertujuan untuk menawarkan perkhidmatan kepada semua Pelanggan DST untuk membolehkan mereka mengurus akaun DST mereka yang hanya berada di hujung jari mereka dan tanpa perlu mengunjungi mana-mana cawangan DST.
Platform ini mempunyai rangkaian luas ciri-ciri diperibadikan yang akan membolehkan pengguna mengurus berbilang akaun, membuat pembayaran bil menggunakan pelbagai platform pembayaran digital dan memantau penggunaan mudah alih mereka bagi data, baki kredit dan penggunaan isian semula.
-NIAGATIMES