Kejayaan program TUBE buktikan usahawan belia mampu jana RM135.7 juta jualan

Seramai 6,268 peserta Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) di seluruh negara berjaya mencatat nilai jualan sebanyak RM135.7 juta sejak program ini dilaksanakan enam tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar berkata, sehingga kini seramai 5,643 usahawan belia daripada jumlah tersebut telah berjaya diwujudkan di seluruh negara berdasarkan perniagaan yang diusahakan.

“90 peratus punca pendapatan adalah melalui perniagaan dan mampu meningkatkan sosio ekonomi belia bumiputera di samping dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Ini jelas terbukti di mana program ini telah berjaya mewujudkan sebanyak 11,767 peluang pekerjaan, termasuk untuk peserta program itu sendiri,” katanya selepas merasmikan Program TUBE 8.0 di Platinum Sentral Kuala Lumpur, semalam.

Tambah Noh, MEDAC juga komited dalam agenda negara melahirkan usahawan graduan dan mewujudkan Bangsa Usahawan dalam kalangan graduan.

“Sebagai bukti komitmen saya dalam hal ini, inisiatif untuk menjadikan graduan sebagai usahawan telah saya letakkan di dalam salah satu KPI di bawah kementerian ini. Sasaran saya adalah untuk menjadikan 160 graduan universiti sebagai usahawan.

“Justeru, saya melihat Program TUBE@IPT sebagai satu inisiatif yang amat relevan serta bertepatan dalam mencapai aspirasi ini,” ujarnya.

Majlis yang turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad itu juga menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di antara SME Corp. Malaysia bersama-sama lapan universiti awam tempatan iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), International Islamic University Malaysia (IIUM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bagi penganjuran program TUBE@IPT.

-NIAGATIMES

KREDIT-FOTO-MEDAC.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.