Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersedia membawa pulang usahawan tempatan berpotensi yang sedang berkelana di luar negara untuk kembali ke Malaysia bagi memperkukuhkan ekosistem keusahawanan negara sekaligus turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, kelompok usahawan tempatan tersebut yang terdiri daripada syarikat permulaan (startup) telahpun dikenalpasti dan pelaburan ke atas mereka diyakini akan membawa pulangan lumayan kepada industri tempatan terutamanya melibatkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Kita mempunyai ramai usahawan berbakat yang kini sedang memulakan perniagaan masing-masing di luar negara. Mereka sebenarnya pemangkin industri tempatan yang berkebolehan melahirkan lebih ramai usahawan-usahawan bidang baharu kelak.

“Atas faktor itulah kita mahu mereka kembali ke sini (Malaysia) dan usaha membawa mereka itu juga merupakan sebahagian inisiatif Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang akan dilancarkan pada 11 Julai nanti. Kita sasarkan kepulangan usahawan berpotensi ini mampu menjadi nilai tambah PKS untuk semakin berkembang serta lebih berkapasiti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pelaburan Rakan Kongsi PKS di Platinum Sentral Kuala Lumpur, hari ini.

Redzuan-Yusof-Kredit-foto-SME-Corp.jpg