Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diseru mengaplikasikan platform e-dagang serta memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi ke atas operasi syarikat masing-masing bagi meningkatkan produktiviti menjelang 2020.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Hatta Ramli berkata, kementeriannya sedia membantu PKS untuk seiring mencapai sasaran digitalisasi perniagaan melalui pembangunan infrastruktur yang lebih canggih dalam masa terdekat.
“Kita perlu mencapai lebih kurang 80 peratus liputan internet untuk memajukan kawasan majoriti di negara ini berbanding liputan semasa yang hanya mampu mencapai 36 peratus sahaja. Visi kementerian (untuk digitalisasi PKS menjelang 2020) tidak mustahil boleh dicapai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Digitalisasi Kertas Putih PKS di Hotel St. Regis Kuala Lumpur, hari ini.
Kertas putih itu merupakan kerjasama antara SME Corp. dan Huawei Malaysia berdasarkan analisis tinjau selidik mengenai ‘Malaysian Digital SMEs’ yang dijalankan oleh kedua-dua organisasi berkenaan.