MIICCI rekod potensi nilai dagangan RM100 juta hasil misi eksplorasi pasaran ke Turkiye

Dewan Perdagangan dan Perindustrian Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI) berjaya merekod potensi nilai dagangan RM100 juta dalam Misi Eksplorasi Pasaran ke Turkiye akhir bulan Februari tahun ini.

Misi Eksplorasi Pasaran ke Turkiye dianjur oleh MIICCI yang diketuai oleh Pengerusinya, Muhamad Amin Fahmi dengan kerjasama SME Corp Kedah dan Bahagian Pembangunan Usahawan, RISDA dengan sokongan Exco Keusahawanan, Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Kedah; Datuk Mohd Salleh Saidin.

Misi Eksplorasi Pasaran ini disertai oleh 11 syarikat berkapasiti eksport dari kalangan SME Kedah dan syarikat usahawan RISDA.

Misi Eksplorasi Pasaran ke Turkiye kali ini meletakkan fokus kepada industri Halal dengan sektor makanan dan minuman, penjagaan diri dan farmaseutikal diberi keutamaan.

Delegasi Malaysia terdiri daripada DASC International Sdn Bhd, Dr Aishah Solutions Sdn Bhd, Nfara S Biotechnology Sdn Bhd, Salleh Food Industries Sdn Bhd, SN Indah Jaya Enterprise, Marhas Trading, ZS Maju Products, Fiavel Enterprise, Oishiy Rich Empire, Hjawang Resources dan Jalina Resources Millionaire Sdn Bhd.

Pengerusi MIICCI, Muhamad Amin Fahmi berkata, pihaknya mempunyai jaringan strategik dengan agensi kerajaan Turkiye dan hubungan dagang dengan dewan perdagangan Turkiye melalui pemeteraian beberapa perjanjian persefahaman memberi kelebihan kepada Delegasi Malaysia untuk meneroka pasaran Turkiye dengan efektif dan efisien.

“Beberapa siri padanan perniagaan diatur bersama bakal pembeli dan rakan kolaborasi strategik Turkiye. Di antara syarikat Turkiye yang berjaya dipadankan adalah Happy Center (rangkaian kedai runcit dan kedai konsep), Halal Gida Marketleri (rangkaian kedai runcit Halal), SAJA Group, MAY Pharmacy Group, dan Hotel DoubleTree by Hilton.

“Komitmen usahasama di antara Delegasi Malaysia dan syarikat Turkiye dijangka akan dapat dimeterai dan direalisasi dalam suku keempat tahun 2024 iaitu di antara DASC International Sdn Bhd dan Saglik Bilimleri Universitesi; Dr Aishah Solutions Sdn Bhd dan Hotel DoubleTree by Hilton Istanbul; dan Nfara S Biotechnology Sdn Bhd dan MAY Pharmacy Group,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, MIICCI akan terus berperanan penting bagi merancak perdagangan dan pertumbuhan ekonomi di antara Malaysia dan Turkiye.

“Sebagai sebuah dewan perdagangan antarabangsa yang menghimpunkan ahli dagang Malaysia dan global, MIICCI mempelawa syarikat Malaysia yang berhasrat untuk meneroka peluang perniagaan di Turkiye agar dapat menyertai siri Misi Eksplorasi Pasaran ke Turkiye yang dijadualkan akan berlangsung pada bulan Julai dan September 2024,” katanya.

-NIAGATIMES

FOTO-Bersama-Dewan-Perdagangan-Turkiye-ASKON.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.