Samsung perkenal Galaxy A57 5G dengan storan 512GB pada harga sama

Samsung Electronics terus memperkukuh penawaran dalam segmen telefon pintar kelas pertengahan menerusi pelancaran Samsung Galaxy A57 5G yang hadir dengan storan dalaman lebih besar tanpa kenaikan harga.

Model terbaharu itu menawarkan kapasiti storan sehingga 512GB, iaitu dua kali ganda berbanding 256GB yang ditawarkan pada generasi sebelumnya, Samsung Galaxy A56 5G. Menariknya, peranti tersebut masih dijual pada harga sama iaitu RM2,199 selepas rebat, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengguna.

Menurut kenyataan syarikat, peningkatan kapasiti storan itu dilihat sebagai langkah praktikal selari dengan keperluan pengguna masa kini yang semakin bergantung kepada kandungan digital, termasuk aplikasi bersaiz besar, foto resolusi tinggi dan video.

“Dengan storan lebih besar, pengguna tidak lagi perlu kerap memadam fail atau aplikasi. Ia membolehkan mereka menyimpan lebih banyak kandungan tanpa gangguan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Samsung menegaskan bahawa isu pengurusan storan dan keperluan mengosongkan ruang secara berkala kini bukan lagi kebimbangan utama, terutamanya bagi pengguna yang aktif menghasilkan kandungan atau menggunakan kamera secara intensif.

Dari segi penawaran, Galaxy A57 5G tersedia dalam tiga pilihan warna iaitu Awesome Navy, Awesome Gray dan Awesome Icyblue. Sementara itu, model Samsung Galaxy A37 5G turut diperkenalkan dengan pilihan warna berbeza termasuk Awesome Lavender dan Awesome Charcoal.

Kedua-dua model mula ditawarkan di Malaysia bermula 25 Mac 2026 melalui Samsung Online Store, Samsung Experience Stores, pengedar sah serta platform e-dagang terpilih.

Bagi tempoh promosi pelancaran sehingga 31 Disember 2026, pelanggan berpeluang menikmati rebat sehingga RM300, manakala rebat tambahan melalui bank terpilih dan kemudahan bayaran ansuran digital ditawarkan sehingga 29 April 2026.

Dalam masa sama, Samsung turut memperkenalkan program tawaran pembelian berganda (MBO) yang membolehkan pelanggan mendapatkan aksesori seperti fon telinga tanpa wayar dan peranti boleh pakai pada harga diskaun.

Sebagai nilai tambah, pelanggan juga boleh melanggan pelan perlindungan Samsung Care+ yang menawarkan perlindungan menyeluruh bagi memastikan ketahanan dan nilai peranti kekal terjamin.

-NIAGATIMES

KV_Double-Your-Storage-at-the-Same-Price.jpg