Rantau Asia Pasifik (APAC) mencatat pencapaian ketara apabila menguasai kedudukan teratas dalam Indeks Keyakinan Pelaburan Langsung Asing (FDI) 2026 yang dikeluarkan oleh Kearney, sekali gus menandakan perubahan landskap pelaburan global yang semakin dipengaruhi faktor geopolitik dan kemajuan teknologi.
Buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, APAC meraih 10 daripada 25 kedudukan dalam indeks tersebut, mencerminkan peningkatan daya tarikan rantau itu di mata pelabur antarabangsa. Amerika Syarikat dan Kanada kekal di tangga pertama dan kedua, manakala Jepun melonjak ke tempat ketiga diikuti China di kedudukan keempat.
Singapura, Korea Selatan dan India turut mencatat peningkatan ranking, sementara Thailand dan Malaysia kembali tersenarai dalam kelompok 25 teratas selepas beberapa tahun tidak berada dalam senarai berkenaan.
Tinjauan yang dijalankan pada Januari 2026 melibatkan lebih 500 eksekutif kanan global mendapati sebanyak 88 peratus responden merancang untuk meningkatkan pelaburan langsung asing dalam tempoh tiga tahun akan datang, walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan politik dunia.
Menurut Kearney, keupayaan teknologi dan inovasi kini menjadi faktor utama dalam menentukan destinasi pelaburan, mengatasi pertimbangan tradisional seperti kecekapan peraturan dan prestasi ekonomi domestik. Pelaburan dalam kecerdasan buatan, infrastruktur digital serta teknologi berasaskan data dilihat semakin rancak, sekali gus meningkatkan daya tarikan negara yang memiliki ekosistem inovasi kukuh.
Singapura mencatat lonjakan paling ketara apabila naik ke tangga kelapan, didorong peranannya sebagai hab penyelidikan dan pembangunan, selain sokongan insentif cukai serta kerjasama strategik.
Dalam masa sama, pasaran negara sedang pesat membangun terus menunjukkan momentum positif. China kekal sebagai pasaran utama dalam kalangan ekonomi sedang muncul, manakala Malaysia dan Thailand turut mencatat peningkatan memberangsangkan.
Walaupun prospek pelaburan kekal kukuh, risiko geopolitik terus menjadi kebimbangan utama pelabur, diikuti kenaikan harga komoditi dan ketidaktentuan politik. Polisi industri turut dilihat semakin penting, dengan 84 peratus pelabur menyifatkannya sebagai faktor kritikal dalam keputusan pelaburan.
Perkembangan ini menandakan perubahan strategi pelabur global yang kini lebih menumpukan kepada daya tahan rantaian bekalan, pembangunan infrastruktur dan sokongan dasar kerajaan dalam menilai destinasi pelaburan jangka panjang.
-NIAGATIMES





















































