AEON360 menjalin kerjasama strategik jangka panjang dengan Google Cloud bagi membangunkan ekosistem perdagangan berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang lebih lancar dan intuitif di Asia Tenggara.
Inisiatif itu bertujuan mewujudkan pengalaman ‘continuous commerce’ yang menghubungkan data runcit, kewangan dan gaya hidup dalam satu platform bersepadu, sekali gus membolehkan interaksi pelanggan disesuaikan secara masa nyata mengikut keperluan dan keutamaan mereka.
Pengerusi AEON360, Daisuke Maeda berkata kerjasama berkenaan menandakan peralihan daripada interaksi digital konvensional kepada penggunaan agen AI yang mampu membantu pengguna membuat keputusan pembelian dengan lebih tepat.
“Pendekatan ini membolehkan setiap pengalaman membeli-belah dirasai secara lebih peribadi dan efisien, bermula dari pencarian produk hingga kepada penghantaran dan sokongan selepas jualan,” katanya.
Sebagai langkah awal, Malaysia dipilih sebagai lokasi pelaksanaan sebelum diperluaskan ke pasaran utama lain di rantau ini. Pelaksanaan seterusnya akan dipacu oleh barisan kepimpinan AEON360 bagi memastikan penyampaian pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh.
Teras kepada inisiatif ini ialah pembangunan enjin kecerdasan kontekstual yang mampu memahami corak pembelian serta keperluan pelanggan merentasi pelbagai perkhidmatan AEON. Sistem ini membolehkan cadangan produk, promosi serta pilihan pembiayaan disesuaikan secara automatik, sekali gus meningkatkan nilai kepada pengguna.
Dalam masa sama, sebuah pusat inovasi dikenali sebagai AEON360 Innovation Foundry akan ditubuhkan di Kuala Lumpur bagi memperkukuh kemahiran AI dalam kalangan tenaga kerja. Pusat ini akan menyediakan latihan, pensijilan serta platform pembangunan penyelesaian AI bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan.
Pengurus Negara Google Cloud Malaysia, Hana Raja berkata kerjasama itu bakal mengubah pengalaman runcit yang sebelum ini berpecah-pecah kepada satu perjalanan pengguna yang lebih lancar dan bersepadu.
“Inisiatif ini akan memastikan setiap interaksi pelanggan disokong oleh aliran data yang berterusan, membolehkan sistem meramal dan memenuhi keperluan pengguna dengan lebih tepat,” katanya.
Kerjasama ini turut membuka potensi integrasi teknologi baharu termasuk penggunaan protokol perdagangan terbuka serta penyelesaian pembayaran digital, sekali gus memperkukuh ekosistem perniagaan AEON secara menyeluruh di rantau ini.
-NIAGATIMES





















































