Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memperkukuh perancangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebagai langkah strategik memastikan industri sawit negara kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata perkembangan geopolitik dunia, khususnya konflik di Timur Tengah, memberi kesan tidak langsung kepada rantaian bekalan minyak dan lemak global, sekali gus menuntut pendekatan lebih tersusun serta berasaskan sains.
Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) MPOB 2026 memainkan peranan penting dalam menyelaras hala tuju R&D agar selari dengan keperluan industri serta perubahan persekitaran antarabangsa.
“Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit daripada sektor huluan hingga hiliran dengan penekanan kepada inovasi teknologi, aplikasi praktikal serta impak sosioekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat selama empat hari itu turut meneliti pelaksanaan strategi R&D selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), termasuk memperkukuh inisiatif seperti pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0) dan program penanaman semula melibatkan pekebun kecil dengan peruntukan kira-kira RM171 juta.
Selain itu, MPOB turut memberi tumpuan kepada pembangunan bahan api penerbangan mampan serta penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan dron bagi meningkatkan kecekapan operasi ladang.
PAC yang dianggotai pakar tempatan dan antarabangsa turut menekankan usaha meningkatkan produktiviti melalui pembangunan bahan tanaman berkualiti tinggi menggunakan teknologi genomik, di samping menangani ancaman penyakit seperti Ganoderma.
Dalam aspek kemampanan, MPOB memberi perhatian terhadap pematuhan piawaian global termasuk Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut ketelusan rantaian bekalan.
Ahmad Parveez berkata industri sawit juga berpotensi menyumbang kepada agenda peralihan tenaga menerusi penggunaan biodiesel serta terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan makanan global.
Sehubungan itu, MPOB menetapkan enam bidang utama penyelidikan termasuk prestasi hasil, perubahan iklim, pemprosesan dan mekanisasi, keselamatan makanan, nilai tambah serta aspek sosioekonomi bagi memastikan industri terus mampan dan kompetitif di peringkat antarabangsa.
-NIAGATIMES






















































