China menetapkan sasaran pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 5 peratus, iaitu unjuran paling rendah sejak 1991 ketika negara itu berdepan cabaran ekonomi domestik serta tekanan perdagangan global.
Pengumuman itu dibuat sempena mesyuarat politik tahunan terbesar negara berkenaan yang dikenali sebagai Two Sessions, yang turut memperincikan hala tuju ekonomi negara melalui pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15.
Langkah menurunkan sasaran itu mencerminkan pendekatan lebih berhati-hati Beijing dalam menguruskan ekonomi susulan beberapa cabaran utama termasuk penggunaan domestik yang lemah, krisis hartanah yang berpanjangan serta ketegangan perdagangan antarabangsa.
Perdana Menteri China, Li Qiang berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaburan dalam inovasi, industri berteknologi tinggi serta penyelidikan saintifik, selain mempergiat usaha meningkatkan perbelanjaan isi rumah.
Menurut beliau, strategi itu bertujuan mengimbangi kebergantungan China terhadap sektor eksport sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Kerajaan akan mempercepat transformasi sektor pembuatan serta merangsang penggunaan domestik bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya ketika berucap kepada para perwakilan.
Data rasmi sebelum ini menunjukkan ekonomi China berkembang sekitar 5 peratus sepanjang 2025, sejajar sasaran yang ditetapkan kerajaan. Namun momentum pertumbuhan didapati mula perlahan kepada 4.5 peratus pada suku terakhir tahun tersebut, dipengaruhi oleh perbelanjaan domestik yang sederhana dan tekanan berterusan dalam sektor hartanah.
Perkembangan itu turut mempengaruhi kerajaan wilayah di China apabila lebih dua pertiga wilayah menurunkan sasaran pertumbuhan masing-masing atau menetapkan sasaran pada kadar ‘sekitar’ tahap tertentu.
Penyelidik dasar dari Georgetown University, Ning Leng berkata walaupun China mencapai sasaran pertumbuhan tahun lalu, keadaan sebenar ekonomi perlu diteliti dengan berhati-hati.
Menurut beliau, sikap berhati-hati pengguna dalam berbelanja serta krisis hartanah yang berlarutan terus memberi tekanan kepada pertumbuhan ekonomi negara itu.
Dalam masa sama, sektor pembuatan dan eksport masih menjadi tonggak utama ekonomi China. Tahun lalu, negara itu mencatat lebihan dagangan terbesar dalam sejarah dunia berjumlah AS$1.19 trilion, bersamaan kira-kira RM5.6 trilion.
Namun pergantungan besar terhadap eksport turut menjadikan ekonomi China lebih terdedah kepada perubahan dasar perdagangan global.
Tarif perdagangan yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut memberi tekanan tambahan kepada sektor eksport negara itu.
Sebagai tindak balas, Beijing kini mempergiat usaha mempelbagaikan rakan dagang serta memperluas pasaran baharu bagi memastikan sektor pembuatannya kekal berdaya saing di peringkat global.
-NIAGATIMES






















































