EXIM Bank perkenal inisiatif JanaNiaga bantu aliran tunai PKS

Export-Import Bank of Malaysia Berhad (EXIM Bank) semalam melancarkan platform digital JanaNiaga bertujuan membantu aliran tunai pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang membekal kepada kerajaan dan Syarikat-syarikat yang Berkaitan Kerajaan (GLC).

JanaNiaga berperanan sebagai platform pembayaran digital rantaian bekalan nasional. PKS yang membekalkan kepada GLC boleh mendapatkan bantuan pembiayaan invois dengan kadar pembiayaan serendah 3.5 peratus setahun untuk margin pembiayaan sebanyak 100 peratus.

Kadar ini jauh lebih rendah daripada pembiayaan yang boleh diperolehi pada kadar biasa, bagi memudahkan aliran tunai syarikat masing-masing.

Inisiatif ini pertama sekali diumumkan melalui Belanjawan 2021. JanaNiaga akan dikendalikan oleh EXIM Bank dengan peruntukan sebanyak RM300 juta dan dijangka akan memanfaatkan lebih dua juta PKS khususnya yang terlibat dalam ekosistem pembekalan kepada GLC.

Jumlah ini dijangka akan mencecah 1.2 bilion ringgit dengan peruntukan tambahan daripada institusi-institusi kewangan yang akan menyertai JanaNiaga secara berfasa.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kecairan tunai PKS adalah teramat penting dalam saat-saat mencabar pandemik ini untuk memastikan kelangsungan perniagaan.

“JanaNiaga menyatukan pelbagai pihak terlibat dalam ekosistem rantaian pembekalan nasional. Ianya berupaya meningkatkan kecekapan aliran kewangan dan akses pembiayaan bagi modal kerja PKS di negara kita melalui ketersediaan dana sebanyak RM300 juta.

“Adalah harapan kerajaan supaya JanaNiaga dapat membantu PKS yang banyak terkesan sepanjang pandemik Covid-19, sekaligus menyokong pemulihan perniagaan dan ekonomi.

“Ini juga selaras dengan strategi kerajaan dalam mengutamakan automasi dan pendigitalan bagi mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi,” jelasnya.

Platform JanaNiaga menyediakan akses kepada pembiayaan secara digital, dengan proses kelulusan lebih cepat dan keperluan dokumentasi yang lebih mudah.

Sistem yang berlandaskan pendigitalan ini juga membolehkan permohonan pembiayaan dibuat secara dalam talian, di mana setiap permohonan boleh diluluskan dan pembiayaan disalurkan dalam lebih kurang 24 jam.

-NIAGATIMES

Jana-Niaga.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.