Tekanan kos operasi di peringkat global meningkat dengan ketara pada suku kedua 2026 susulan konflik berterusan di Asia Barat, namun asas ekonomi Malaysia kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Menurut Tinjauan Keadaan Ekonomi Global (GECS) oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Institute of Management Accountants (IMA), lebih tiga perempat akauntan di seluruh dunia melaporkan peningkatan kos operasi dalam tempoh berkenaan, melepasi rekod yang dicatat selepas tercetusnya konflik di Ukraine.
Tinjauan yang dijalankan antara 3 hingga 17 Jun 2026 itu mendapati kenaikan harga komoditi serta gangguan rantaian bekalan menjadi faktor utama peningkatan kos, manakala 83 peratus ketua pegawai kewangan (CFO) turut melaporkan kos operasi yang lebih tinggi.
Walaupun tekanan kos semakin meningkat, keyakinan dalam kalangan akauntan menunjukkan sedikit pemulihan berbanding paras yang hampir mencatat rekod terendah pada suku pertama tahun ini.
Bagaimanapun, petunjuk berkaitan pesanan baharu, perbelanjaan modal dan pengambilan pekerja menunjukkan pertumbuhan ekonomi global dijangka terus sederhana berikutan inflasi yang masih tinggi, ketidaktentuan geopolitik dan keadaan kewangan yang lebih ketat.
Menurut tinjauan itu, tekanan ekonomi merupakan risiko utama yang dihadapi perniagaan pada suku kedua dengan 22 peratus responden menyatakannya sebagai cabaran terbesar, diikuti ketidaktentuan geopolitik (20 peratus) dan keselamatan siber (14 peratus).
Responden turut menekankan peningkatan kepentingan penggunaan kecerdasan buatan (AI), khususnya dalam aspek penciptaan nilai mampan, daya tahan keselamatan siber dan tadbir urus.
Ketua Ahli Ekonomi ACCA Jonathan Ashworth berkata peningkatan kos operasi menjadi cabaran utama kepada syarikat dan berpotensi memberi kesan kepada dasar monetari sekiranya kos tersebut dipindahkan kepada pengguna.
“Walaupun tahap keyakinan bertambah baik, akauntan masih mengambil pendekatan berhati-hati memandangkan ketidaktentuan terus membentuk persekitaran operasi global,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai Malaysia, ACCA berkata kos logistik, bahan api dan bahan mentah yang lebih tinggi masih memberi tekanan kepada perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor yang bergantung kepada import.
Namun, negara terus mencatat prestasi ekonomi yang menggalakkan apabila kadar inflasi menurun kepada 1.9 peratus pada Jun 2026, manakala ekonomi berkembang 5.8 peratus pada suku kedua, didorong permintaan domestik yang kekal kukuh serta prestasi lebih baik dalam sektor pembuatan, perlombongan dan perkhidmatan.
Menurut ACCA, kerajaan turut memperuntukkan RM54.7 bilion menerusi subsidi, bantuan dan insentif sepanjang 2026 bagi mengurangkan kesan tekanan luaran, menstabilkan harga serta meringankan beban isi rumah.
Sementara itu, Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara ACCA Andrew Lim berkata prospek Malaysia masih lebih kukuh berbanding banyak negara lain, disokong inflasi yang terkawal, permintaan domestik yang stabil dan langkah dasar yang bersasar.
Beliau bagaimanapun berkata syarikat perlu terus menyesuaikan strategi perniagaan serta mengurus kos secara berhemat memandangkan ketidaktentuan ekonomi global dijangka berterusan.
-NIAGATIMES



















































