RHB, Batik Air jalin kerjasama tawar diskaun tambang dan ganjaran perjalanan

RHB Banking Group (RHB) menjalin kerjasama strategik dengan Batik Air Malaysia bagi menawarkan pelbagai manfaat eksklusif kepada pelanggan, termasuk penjimatan tambang penerbangan, di samping meneroka peluang kerjasama yang lebih luas pada masa hadapan.

Menerusi kerjasama itu, pemegang Kad Kredit/-i dan Kad Debit/-i RHB yang layak akan menikmati diskaun sehingga 25 peratus bagi tambang penerbangan Batik Air untuk tempahan yang dibuat sehingga 24 Julai 2027, tertakluk kepada terma dan syarat.

Dalam satu kenyataan hari ini, RHB berkata pelanggan layak menerima potongan 15 peratus bagi tambang Kelas Ekonomi kategori Value dan Flexi serta Kelas Perniagaan kategori Value, manakala tambang Kelas Perniagaan Flexi ditawarkan diskaun sebanyak 25 peratus.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Bank Bhd, Jeffrey Ng Eow Oo berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bank untuk bekerjasama dengan organisasi yang berkongsi aspirasi sama dalam menyediakan penyelesaian yang memenuhi keperluan gaya hidup pelanggan.

“Perjalanan kekal menjadi keutamaan bagi ramai rakyat Malaysia sama ada untuk urusan perniagaan, percutian mahupun keluarga. Kerjasama ini membolehkan kami menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih bernilai di samping membuka ruang kepada lebih banyak inisiatif pada masa depan,” katanya.

Menurut RHB, kerjasama berkenaan dilaksanakan ketika permintaan terhadap perjalanan udara terus meningkat, dengan lebih ramai pengguna mencari pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan mudah.

Batik Air ketika ini mengendalikan lebih 1,400 penerbangan setiap minggu ke lebih 60 destinasi di 20 negara, sekali gus memperkukuh rangkaian perhubungan serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Malaysia, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, syarikat penerbangannya melihat kerjasama strategik sebagai elemen penting dalam meningkatkan pengalaman pelanggan selain mewujudkan nilai tambah kepada pengembara.

“Gabungan kepakaran dalam sektor penerbangan dan perkhidmatan kewangan menerusi kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelanggan, selari dengan usaha kami memperkukuh masa depan industri perjalanan,” katanya.

Selain manfaat tambang penerbangan, RHB turut menawarkan Kad Debit Visa Pelbagai Mata Wang RHB yang dihubungkan dengan akaun pelbagai mata wang, membolehkan pelanggan berurus niaga menggunakan ringgit Malaysia serta sehingga 33 mata wang asing ketika berada di luar negara.

Kad itu dipautkan kepada Akaun Pelbagai Mata Wang RHB yang membolehkan pelanggan menyimpan, menukar dan mengurus pelbagai mata wang dengan lebih mudah sepanjang perjalanan.

-NIAGATIMES

01_Photo-1.jpg