Selangor sasar terajui Ekonomi Ruang Udara Rendah dengan DronePort-1000

Selangor terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju pembangunan teknologi aeroangkasa dan Ekonomi Ruang Udara Rendah (Low Altitude Economy, LAE) menerusi pra-pelancaran DronePort-1000 di Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya, hari ini.

Kemudahan yang dibangunkan hasil kerjasama antara Selangor Aviation & Technology Innovation Sdn Bhd (SELATI) dan UNISEL itu bakal berfungsi sebagai pusat ujian, penilaian serta pembangunan teknologi dron bagi operasi ruang udara pada ketinggian sehingga 1,000 meter.

Exco Agama Islam, Industri Halal, Infrastruktur Digital serta Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata projek berkenaan melengkapkan ekosistem industri dron di negeri itu dan dijangka muncul sebagai pusat pengujian dron terbesar di negara ini apabila siap beroperasi sepenuhnya.

Beliau berkata kawasan ujian seluas 24 kilometer persegi dengan had ketinggian sehingga 1,000 meter telah melalui proses penilaian dan dijangka memperoleh pentauliahan khas daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Fasiliti ini diwujudkan bagi memenuhi keperluan pembangunan industri dron yang semakin berkembang, selain menyediakan persekitaran yang sesuai untuk penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi baharu,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan awal sebanyak RM500,000 bagi tahun hadapan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada selain menyediakan skim geran padanan bagi menggalakkan penyertaan syarikat tempatan dan antarabangsa.

Dr Mohammad Fahmi berkata penggunaan dron bersama teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan kecekapan pemantauan pelbagai isu termasuk pencerobohan hutan simpan, hakisan pantai, kebocoran ban dan pencemaran sungai.

“Saiz Selangor yang luas menjadikan pemantauan secara konvensional lebih mencabar. Dengan penggunaan dron dan AI, proses pemantauan dapat dijalankan secara lebih pantas serta menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata pembangunan DronePort-1000 juga selaras dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SELATI, Zannifa Azura berkata DronePort-1000 bukan sekadar menyediakan ruang ujian penerbangan, malah berperanan membangunkan keseluruhan ekosistem industri dron termasuk penyediaan infrastruktur, teknologi dan pembangunan vendor tempatan.

Beliau berkata pembangunan industri dron memerlukan rangkaian sokongan yang komprehensif, terutama bagi teknologi mobiliti udara termaju (Advanced Air Mobility), yang melibatkan pelbagai komponen dan kepakaran.

Katanya, kerjasama strategik dengan rakan teknologi antarabangsa akan membuka peluang pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan sekali gus meningkatkan daya saing mereka di peringkat global.

DronePort-1000 dibangunkan berasaskan tiga komponen utama iaitu penyediaan tapak ujian dan penilaian kebangsaan, penggunaan rangkaian persendirian 5G bagi menyokong operasi masa nyata serta pelaksanaan kerjasama kawal selia atau regulatory sandbox bersama CAAM bagi memperkukuh aspek keselamatan dan pematuhan ruang udara.

Pelaksanaan projek itu dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama CAAM bagi memastikan semua aktiviti mematuhi Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016. Fasa awal akan memberi tumpuan kepada penyelidikan, ujian di darat dan pembangunan bakat di UNISEL sebelum penerbangan ujian berskala penuh dilaksanakan.

Inisiatif berkenaan dijangka memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab teknologi dron dan mobiliti udara masa hadapan, di samping membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

-NIAGATIMES

Dr.-Mohammad-Fahmi-Ngah-diberi-taklimat-mengenai-pusat-operasi-Droneport-1000-di-UNISEL.jpeg