KPK galak pekebun kecil teroka integrasi ternakan tingkat pendapatan

Projek Integrasi Ternakan dengan Sawit (ITe) yang diperkenalkan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus membuktikan keberkesanannya dalam meningkatkan pendapatan pekebun kecil apabila seorang peserta berjaya memperoleh pendapatan kasar hampir RM126,000 dalam tempoh kurang tiga tahun.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata kejayaan itu dicapai hasil bantuan permulaan kerajaan sebanyak RM15,000 yang membolehkan peserta melaksanakan projek penternakan itik penelur secara integrasi di kebun kelapa sawit.

Beliau berkata pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu mempelbagaikan sumber pendapatan pekebun kecil, malah meningkatkan daya tahan ekonomi mereka menerusi penggunaan optimum kawasan tanaman sawit.

“Modal permulaan yang disediakan kerajaan mampu memberi pulangan yang jauh lebih besar apabila disertai pengurusan yang baik serta bimbingan teknikal berterusan.

“Ini membuktikan bantuan yang disalurkan bukan sekadar meningkatkan produktiviti kebun, malah berupaya mengubah taraf sosioekonomi pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat tapak Projek Integrasi Ternakan dengan Sawit di Kampung Gombak, Mukim Peserai di Johor.

Noraini berkata projek yang diusahakan Mohamad Danial Md. Jalil di kebun sawit seluas 0.68 hektar menjadi contoh kejayaan pelaksanaan konsep integrasi apabila bilangan ternakan kini meningkat kepada 360 ekor itik penelur dengan pengeluaran sekitar 240 biji telur sehari.

Beliau berkata sehingga Mei lalu, projek itu telah menghasilkan sebanyak 94,860 biji telur dengan nilai jualan kasar hampir RM126,000, selain memberikan pendapatan tambahan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan kepada pengusahanya.

Menurut beliau, kementerian menggalakkan lebih ramai pekebun kecil memanfaatkan kebun sawit sebagai platform menjalankan aktiviti ekonomi lain yang berpotensi meningkatkan hasil, selaras dengan usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara.

Katanya, projek integrasi seperti penternakan juga menyumbang kepada amalan pertanian mampan apabila sisa ternakan dimanfaatkan sebagai baja organik bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, di samping meningkatkan kesuburan tanah.

Selain memasarkan telur segar kepada pengguna dan pemborong, peserta turut menghasilkan produk nilai tambah seperti telur masin bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan serta tempahan majlis keraian.

Noraini berkata kejayaan projek itu diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pekebun kecil sawit untuk menceburi aktiviti integrasi yang mampu meningkatkan pendapatan isi rumah serta memperkukuh pembangunan sektor agrikomoditi negara.

Skim Integrasi Ternakan dengan Sawit merupakan antara inisiatif KPK melalui MPOB bagi memperkasakan sosioekonomi pekebun kecil sawit persendirian, sejajar dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan menggalakkan amalan pertanian yang mampan.

-NIAGATIMES

Foto-1.jpeg