Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2026 kini membuka tirainya dengan lebih 4,000 pertemuan perniagaan antara kira-kira 600 pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa menerusi program International Sourcing Programme (INSP).
Edisi ke-22 MIHAS yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) itu menghimpunkan kira-kira 450 pembeli dari 58 ekonomi, termasuk 50 pembeli premium, bagi meneroka peluang mendapatkan produk dan perkhidmatan halal keluaran Malaysia.
INSP menjadi antara penggerak utama MIHAS dalam mempertemukan syarikat tempatan dengan pembeli global yang dikenal pasti berdasarkan keperluan dan potensi perolehan, sekali gus membuka ruang kepada pembentukan kontrak serta peluang eksport baharu.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penyertaan pembeli antarabangsa itu mencerminkan permintaan global yang kukuh terhadap produk dan perkhidmatan halal Malaysia.
Beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan perlu memanfaatkan platform berkenaan untuk memperluas jaringan perdagangan serta menembusi pasaran bernilai tinggi.
Katanya, kehadiran pembeli premium dengan jumlah hasil tahunan gabungan hampir RM700 bilion turut memperlihatkan skop permintaan yang semakin pelbagai, merangkumi bukan sahaja makanan dan minuman tetapi juga bahan khusus, bioteknologi, kewangan Islam, logistik serta pendidikan.
MIHAS 2026 turut menyaksikan penyertaan ekonomi baharu termasuk Comoros dan Rwanda, selain penglibatan kukuh pembeli dari Asia Timur Laut dan ASEAN serta peningkatan penyertaan dari Afrika.
INSP secara fizikal telah berlangsung, manakala komponen maya dijalankan dari 1 April hingga 30 Nov dengan sehingga 150 pembeli antarabangsa mengambil bahagian secara dalam talian.
Perkembangan itu selari dengan unjuran pasaran halal global yang dijangka berkembang sehingga US$10 trilion (kira-kira RM40.9 trilion) menjelang 2030, sekali gus menyediakan ruang lebih luas kepada syarikat Malaysia untuk memperkukuh kedudukan dalam rantaian bekalan global.
-NIAGATIMES




















































