PROTON perkenal X90 dikemas kini, tawar rebat RM7,000 untuk pembeli terawal

Proton Holdings Bhd (Proton) melancarkan versi dipertingkat bagi kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X90 dengan harga bermula RM106,800, sekali gus memperkukuh kedudukannya dalam segmen SUV bersaiz besar di pasaran Malaysia.

Model yang dikenali sebagai Proton X90 MC1 2026 itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu 1.5TD Lite, 1.5TD Prime dan 1.5TD Prime X. Harga atas jalan tanpa insurans masing-masing ialah RM106,800, RM116,800 dan RM122,800.

Sempena pelancarannya, PROTON turut menawarkan rebat RM7,000 kepada 2,000 pelanggan pertama yang membuat tempahan sehingga 30 Jun ini.

Dengan potongan tersebut, harga bagi varian 1.5TD Lite turun kepada RM99,800, manakala varian 1.5TD Prime dan 1.5TD Prime X masing-masing ditawarkan pada RM109,800 dan RM115,800.

Versi terkini Proton X90 ini diperkenalkan hampir tiga tahun selepas model asal dilancarkan pada Mei 2023, dengan beberapa penambahbaikan dilakukan bagi memastikan model itu kekal kompetitif dalam pasaran SUV tempatan yang semakin sengit.

Dari segi reka bentuk, perubahan yang dilakukan adalah minimum dengan penampilan luaran hampir sama seperti model sebelumnya. Antara kemas kini yang diperkenalkan ialah rel bumbung utiliti baharu yang kini berfungsi sepenuhnya bagi meningkatkan aspek praktikal.

Dimensi kenderaan juga kekal sama dengan panjang 4,835 milimeter (mm), lebar 1,900 mm dan tinggi 1,785 mm, serta jarak roda 2,815 mm.

Dari segi pilihan warna, Proton X90 MC1 2026 ditawarkan dengan lima warna badan iaitu Quartz Black, Marine Blue, Armour Silver, Snow White dan Jet Grey. Dua warna yang sebelum ini ditawarkan iaitu Cinnamon Brown dan Ruby Red kini tidak lagi tersedia bagi model tersebut.

Untuk ruang kabin, tema dalaman hitam dijadikan sebagai standard dengan pilihan kerusi balutan kulit buatan atau kulit Nappa bergantung kepada varian.

Sebagai SUV segmen D dengan tujuh tempat duduk, Proton X90 menyasarkan pengguna keluarga yang memerlukan ruang kabin luas serta keselesaan untuk perjalanan jauh.

Seperti dijangka, Proton X90 merupakan model terbaharu yang menerima kemas kini seiring dengan pendekatan yang sebelum ini telah dilaksanakan pada beberapa model lain keluaran Proton seperti Saga, X50, X70 dan sedan S70.

-NIAGATIMES

Proton-x90.jpg