Menjelang sambutan Krismas dan Tahun Baharu, UnionPay International melancarkan inisiatif promosi berskala global merangkumi 26 negara dan wilayah, melibatkan lebih 170 aktiviti pemasaran di lebih 100,000 premis perniagaan seluruh dunia.
Kempen hujung tahun itu menawarkan pelbagai ganjaran kepada pemegang kad UnionPay, termasuk diskaun terpilih sehingga 33 peratus, selaras dengan peningkatan aktiviti perjalanan dan perbelanjaan antarabangsa pada musim cuti.
Antara destinasi utama yang terlibat ialah Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong dan Macau, Korea Selatan, negara-negara Asia Tenggara, Eropah, Amerika Utara serta Oceania.
Promosi luar talian dilaksanakan secara meluas di lokasi tumpuan pelancong termasuk 30 lapangan terbang antarabangsa utama, 65 kawasan beli-belah premium, 40 gedung serbaneka terkemuka dan 15 pusat outlet, selain kedai bebas cukai serta butik mewah di lapangan terbang terpilih.
Inisiatif itu turut meliputi keperluan perbelanjaan harian seperti pasar raya, farmasi kosmetik, restoran, tarikan pelancongan, hiburan, penginapan, pengangkutan tempatan serta perkhidmatan telekomunikasi.
Seiring dengan perkembangan pembayaran digital, UnionPay turut memperkenalkan promosi khas bagi kaedah pembayaran mudah alih termasuk UnionPay Mobile QuickPass dan pembayaran kod QR UnionPay yang kini diterima di lebih 100 negara dan wilayah.
Di Australia dan New Zealand, sebagai contoh, pemegang kad UnionPay boleh menikmati potongan harga serta-merta apabila menggunakan QuickPass mudah alih di peniaga yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Selain transaksi fizikal, UnionPay turut memperluas insentif ke platform dalam talian bagi memenuhi corak perbelanjaan digital yang meningkat sepanjang musim perayaan.
Kerjasama strategik dengan platform hiburan digital antaranya melibatkan promosi tambah nilai permainan Hoyoverse Honkai: Star Rail serta perkhidmatan Apple. Di Australia, UnionPay turut memperkenalkan promosi pembayaran yuran pengajian secara dalam talian untuk pelajar.
Di beberapa pasaran terpilih, UnionPay bekerjasama dengan bank pengeluar tempatan bagi menyediakan keistimewaan eksklusif kepada pemegang kad.
Di Singapura, misalnya, pemegang kad debit UnionPay Platinum terbitan DBS Bank layak menikmati faedah tambahan seperti pulangan tunai, pengecualian yuran, akses ruang istirahat lapangan terbang serta pelbagai kemudahan berkaitan perjalanan.
Dengan rangkaian pembayaran global yang kini meliputi 183 negara dan wilayah, UnionPay terus memperkukuh sokongan pembayaran rentas sempadan bagi pelancongan dan perbelanjaan perayaan.
Melalui kerjasama rapat bersama institusi kewangan dan rakan niaga, UnionPay berusaha menyediakan pengalaman pembayaran yang stabil, mudah dan bernilai tambah kepada pemegang kad di seluruh dunia.
-NIAGATIMES






















































