Belanjawan 2021 talian hayat B40 dan M40

OLEH: Ahmad Syakir Junoh @ Ismail

Belanjawan 2021 bertemakan ‘Teguh Kita Menang Bersama’ dirangka berdasarkan tiga maklumat induk yang merupakan kesinambungan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin PKS Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Kita Prihatin.

Ini secara langsung mengambil kira cabaran dan isu ekoran daripada penularan pandemik Covid-19 yang memberi impak besar kepada sektor ekonomi dan sumber pendapatan golongan tertentu.

Menyedari cabaran dan keluhan rakyat, para peniaga malah agensi tertentu yang terkesan ketika krisis ini, kerajaan telah mengambil tindakan drastik dengan memberi keutamaan menerusi pelbagai insiatif dan insentif kepada hampir segenap lapisan masyarakat.

Tidak dinafikan kesan penutupan dan sekatan ekonomi berikutan penularan wabak Covid-19 dirasai secara seimbang oleh semua lapisan masyarakat lebih-lebih lagi mereka yang berada di bahagian bawah pengagihan pendapatan.

Justeru, Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) bersuara supaya kerajaan melanjutkan pemberian moratorium secara automatik kepada golongan berpendapatan rendah B40 dan sederhana M40 sehingga 31 Disember ini.

Pertimbangan terhadap perlanjutan ini penting kerana kesan pemberian moratorium seperti yang diberikan pada April hingga September lalu membolehkan rakyat berbelanja.

Lanjutan pemberian moratorium bukan sahaja mengurangkan bebanan sara hidup, tetapi dapat memastikan rakyat berbelanja dan menggerakkan ekonomi/meringankan aliran tunai (cashflow) dan bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat dan peniaga seperti yang disebut dalam kenyataan Bank Negara Malaysia bertarikh 25 Mac 2020.

Memetik ucapan penganalisis ekonomi Dr. Madeline Berma menyifatkan keputusan lanjutan pemberian moratorium kepada golongan B40 dan M40 itu mampu membantu mengurangkan beban isi rumah yang kehilangan pendapatan akibat penularan wabak Covid-19 dan juga meningkatkan ‘survival rate’ (kelangsungan) perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Secara automatiknya, golongan berpendapatan rendah iaitu B40 dan M40 akan dapat meneruskan kelangsungan kehidupan dan kelangsungan ekonomi.

Malah, pemberian moratorium juga dilihat dapat membantu aliran tunai individu dan perniagaan oleh SME yang berkemungkinan paling terjejas akibat Covid-19.

Pelaksanaan moratorium oleh institusi perbankan dengan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan, berkuat kuasa pada 1 April 2020 dilihat memberi impak yang besar kepada pengguna apabila wujud ‘penjimatan pembayaran’ sekitar 30 hingga 50 peratus daripada pendapatan bulanan.

Manakala ekonomi juga bakal mendapat rangsangan positif apabila rakyat dan peniaga boleh terus berbelanja walaupun dengan pergerakan yang terhad. Ekonomi negara perlu diletakkan di landasan pemulihan dan seterusnya keluar daripada gengaman kemelesatan ekonomi kerana prestasi sektor kredit memainkan peranan penting sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi pada masa ini.

Kerajaan juga mengambil inisiatif melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, dengan peruntukan RM800 juta ringgit melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad dan SME Bank. Selain itu, bagi menyokong aktiviti automasi dan modenisasi, dana tambahan berjumlah RM150 juta ringgit disediakan di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi yang mana syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan.

Langkah seterusnya yang telah diambil oleh kerajaan dalam mencapai tema belanjawan 2021, SME Bank akan menyediakan kemudahan pembiayaan Skim Lestari Bumi dengan dana berjumlah RM300 juta ringgit.

Seterusnya kerajaan melancarkan program pembiayaan mikro iTEKAD, inisiatif kewangan sosial untuk memperkukuhkan kewangan perusahaan mikro milik usahawan asnaf dan B40 dilancarkan pada Mei 2020 dengan menggabungkan pembiayaan sosial dan pembiayaan mikro untuk memperkasa usahawan mikro dari segmen B40 untuk menjana pendapatan lestari.

Program iTEKAD akan diperluas dengan penyertaan institusi kewangan tambahan dan kerjasama dengan lebih banyak pihak berkuasa agama negeri dan rakan pelaksanaan pada tahun 2021.

Selain bantuan kepada SME, kerajaan juga komited dalam memastikan kesihatan masyarakat ditahap optima. Justeru antara akta yang digubal bagi tujuan berkaitan ialah Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Akta ini memberi pengecualian atau relief kepada rakyat yang tidak mampu memenuhi obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak ini. Pusat Mediasi Covid-19 juga ditubuhkan khusus untuk membantu kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro yang bertikai.

Selain daripada perlindungan kesihatan, kerajaan juga bercadang memperluas perlindungan sosial kepada golongan B40 melalui Program Baucar Perlindungan Tenang. Melaluinya, setiap penerima bantuan B40 akan diberi baucar RM50 ringgit sebagai bantuan kewangan untuk membeli produk Perlindungan Tenang termasuk takaful hayat dan kemalangan diri.

Pada masa sama, kerajaan juga melanjutkan tempoh pengecualian duti setem ke atas semua produk Perlindungan Tenang dengan nilai premium atau sumbangan tahunan tidak melebihi 100 ringgit untuk tempoh lima tahun lagi sehingga tahun taksiran 2025.

Sebagai tambahan, Kerajaan turut memperuntukkan 1.5 bilion ringgit bagi melaksanakan Program Jaringan Prihatin bertujuan mengurangkan beban kewangan golongan B40 mendapatkan kemudahan internet.

Bermula suku pertama 2021, lebih kurang 8 juta penerima dari golongan B40 akan menerima bantuan RM180 seorang dalam bentuk kredit telekomunikasi. Bantuan ini boleh digunakan untuk perbelanjaan langganan internet atau menampung sebahagian kos pembelian telefon bimbit baharu. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat telekomunikasi menyediakan manfaat bernilai 1.5 bilion ringgit seperti dalam bentuk data percuma.

Tambahan itu, bagi meringankan kos sara hidup kumpulan B40 bandar khususnya bagi ibu bapa yang bekerja, kerajaan akan menyediakan Pusat Komuniti sebagai tempat jagaan kepada anak-anak selepas tamat sesi persekolahan.

Dengan peruntukan 20 juta ringgit, Pusat Komuniti dengan kerjasama NGO ini turut dilengkapi kemudahan penjagaan diri, kelas tuisyen, perpustakaan mini dan program bimbingan mentor.

Rumusannya, Bajet 2021 boleh dikatakan sebagai satu model belanjawan norma baharu kepada kerajaan Malaysia khususnya dan kepada dunia umumnya ini kerana pendekatan menyeluruh telah diambil kira berdasarkan kesan dan impak penularan Covid-19.

Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan agar bantuan, kemudahan dan apa jua kelonggaran yang telah diberikan kepada masyarakat dan para peniagaan semua dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan kelestarian ekonomi di semua peringkat.

-NIAGATIMES

** Ahmad Syakir Junoh @ Ismail merupakan Pensyarah di Jabatan Kewangan dan Perniagaan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)

B40-M40-Gambar-hiasan.jpg

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.