Malaysia terajui penubuhan jaringan keselamatan AI ASEAN

Malaysia mengukuhkan peranan sebagai peneraju serantau dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dengan kejayaan mempelopori penubuhan ‘ASEAN AI Safety Network’ (ASEAN AI Safe) yang diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kementerian Digital dalam kenyataannya berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada ‘Priority Economic Deliverables’ (PED) Malaysia, yang menzahirkan komitmen negara dalam merangka agenda serantau bagi mengimbangi pembangunan inovasi AI dengan aspek keselamatan dan etika penggunaannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap pada majlis pembukaan sidang tersebut, menekankan tanggungjawab bersama negara-negara ASEAN untuk memastikan teknologi kekal berperanan melindungi serta memberi manfaat kepada manusia. Beliau berkata, penubuhan ASEAN AI Safe mencerminkan tekad kolektif ASEAN untuk memupuk etika, tadbir urus baik dan keselamatan dalam penggunaan AI agar kemajuan teknologi mampu menjana kepercayaan, keterangkuman dan kemajuan serantau.

ASEAN AI Safe akan berfungsi sebagai mekanisme serantau bagi menyokong Mesyuarat Pegawai Kanan Digital ASEAN serta Kumpulan Kerja Tadbir Urus AI ASEAN. Ia bertujuan meningkatkan keupayaan negara anggota, memperkukuh kerjasama, menggalakkan penyelidikan keselamatan AI dan memupuk budaya penggunaan AI secara selamat serta bertanggungjawab.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata penubuhan jaringan itu menjadi langkah penting ke arah memastikan kemajuan AI di rantau ini disertai prinsip etika dan keselamatan yang kukuh. Menurutnya, Malaysia komited memacu kerangka tadbir urus yang beretika serta memperkukuh budaya ketelusan dan akauntabiliti dalam penggunaan AI.

Beliau menambah, kerjasama strategik ini akan disokong oleh Sekretariat tetap yang berpangkalan di Malaysia serta melibatkan kerjasama dengan rakan dialog ASEAN, industri dan institusi akademik.

Penubuhan ASEAN AI Safe juga menjadi antara legasi utama Pengerusi ASEAN 2025 di bawah Malaysia dengan tema ‘Membina Masa Depan Mampan dan Inklusif Untuk Semua’, sekali gus menegaskan komitmen negara terhadap inovasi berasaskan kepercayaan dan kemakmuran bersama.

-NIAGATIMES

Photo-1_-YB-Gobind-Singh-Deo-Minister-of-Digital-during-his-walkabout-at-the-Powering-the-Intelligent-Age_-Driving-Innovation-with-Southeast-Asia-and-Beyond-Summit.jpg