Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyifatkan situasi kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) ketika ini cukup menguntungkan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat dengan industri sawit dan secara tidak langsung membantu ekonomi negara yang terkesan dengan wabak pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pihaknya berharap agar momentum peningkatan harga ini terus stabil dan meningkat bagi mencapai sasaran industri sawit kekal sebagai penyumbang utama mewakili sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Harga bagi MSM atau ‘Crude Palm Oil’ (CPO) telah naik lebih awal daripada jangkaan pihak MPOB.
“Ini berdasarkan peningkatan harga sejak 1 Jun 2020 yang mececah kepada RM2,366.00 dan pada 3 Jun sebanyak RM2,389.50 untuk satu metrik tan yang akan memberi manfaat kepada 492,000 pekebun kecil dan 258,657 pekebun persendirian di seluruh Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa yang sama, Ahmad Jazlan turut menyahut baik pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas minyak sawit mentah, minyak isirong mentah dan minyak isirong sawit yang diproses mulai 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020.
“Pengumuman ini pastinya akan membantu kita meningkatkan lagi nilai eksport sawit Malaysia ke luar negara, terutama negara India kerana Kerajaan India tidak lagi melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit yang ditapis.
“Malah, ini jelas menunjukan kecaknaan Perdana Menteri terhadap kepentingan sawit negara dan sekaligus akan membantu pekebun-pekebun kecil amnya dan pengusaha indusri khususnya untuk menerokai pasaran antarabangsa,” katanya.