Usaha kerajaan memperkukuh sistem percukaian digital membuahkan hasil apabila lebih 106,000 pembayar cukai kini menggunakan sistem e-Invois, dengan jumlah transaksi yang direkodkan melebihi RM675 juta setakat ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, berkata pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan strategi pendigitalan hasil oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan tetapi juga memperkukuh ketelusan dalam tadbir urus kewangan negara.
“E-Invois bukan sekadar alat teknologi, ia simbol transformasi dalam cara kerajaan dan rakyat berinteraksi secara lebih telus serta berintegriti,” katanya semasa Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2025, hari ini.
Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan sistem tersebut mengangkat LHDN sebagai peneraju reformasi percukaian negara berasaskan teknologi, yang memberi manfaat langsung kepada pengguna dan memperkukuh keyakinan terhadap sistem kewangan awam.
“Apabila rakyat melihat hasil negara diurus dengan telus dan bertanggungjawab, keyakinan mereka terhadap institusi kewangan kerajaan turut meningkat,” tambahnya.
Lim turut mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Sistem Taksir Sendiri (STS) bagi Duti Setem bermula 1 Januari 2026, yang membolehkan pembayar duti menilai sendiri kadar dan jumlah bayaran dengan lebih cepat dan efisien.
“Pendekatan ini menandakan kepercayaan kerajaan terhadap kejujuran dan tanggungjawab pembayar cukai, di samping menjimatkan masa serta kos pentadbiran,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa tema sambutan tahun ini, ‘Inovasi dan Integriti’ menjadi asas kepada kejayaan pelaksanaan setiap inisiatif pendigitalan yang digerakkan oleh LHDN.
“Inovasi tanpa integriti boleh membawa kepada penyalahgunaan, manakala integriti tanpa inovasi akan menyebabkan kita ketinggalan. Kedua-duanya perlu bergerak seiring untuk memastikan hasil negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” ujar Lim.
Dengan pelaksanaan e-Invois dan STS Duti Setem, kerajaan yakin Malaysia berada di landasan tepat menuju sistem percukaian digital yang lebih moden, telus dan berdaya saing.
-NIAGATIMES






















































