Ketirisan wang beri implikasi besar kepada sektor PKS

OLEH: Dr. Noorul Azwin Md Nasir

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia termasuklah Malaysia telah memberi impak besar kepada krisis kesihatan, ekonomi dan dan kesejahteraan hidup masyarakat.

Tekanan ekonomi dan pengangguran menjadi faktor utama yang menyumbang kepada terbitnya pelbagai perniagaan berasaskan sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikalangan masyarakat di negara ini.

Namun, dalam kerancakan menceburi bidang perniagaan bermaksud entiti perniagaan tersebut akan berhadapan dengan pelbagai transaksi kewangan yang melibatkan urusan jualan dan juga belian.

Secara relatifnya, urusan jualan dikaitan dengan pendapatan perniagaan manakala urusan belian pula dikaitkan dengan perbelanjaan.

Secara tidak langsung apabila melibatkan transaksi kewangan iaitu jualan dan belian maka timbulah isu ketirisan wang dalam perusahaan jenis mikro, kecil dan sederhana terutamanya dalam kategori ‘enterprise’.

Dalam bahasa mudahnya ketirisan wang ini melibatkan isu kecurian wang staf dalaman di dalam perniagaan PKS berpunca dari pelbagai faktor seperti tidak ada pengetahuan atau ilmu pengurusan kewangan yang sistematik.

Lazimnya, isu ketirisan wang dalam sektor PKS kurang mendapat perhatian media atau ditular dalam media sosial ini kerana perniagaan tersebut lebih bersifat persendirian dan perkongsian.

Isu ketirisan wang perniagaan yang muncul kebiasaannya diselesaikan secara dalaman bergantung kepada faktor yang menyebabkannya.

Adalah penting agar setiap transaksi wang dalam perniagaan mempunyai rekod serta dokumentasi bagi memastikan punca pendapatan dan perbelanjaan yang dibuat oleh perniagaan diketahui dengan jelas. Sekiranya, wang pendapatan dan perbelanjaan tidak berjaya dijejaki, maka inilah yang dipanggil sebagai ketirisan wang dalam perniagaan.

Ketirisan wang boleh dikaitkan dengan pembaziran dan boleh membawa kepada isu penyelewangan wang. Apabila ketirisan wang berlaku dalam jangka masa yang panjang, ia boleh menghalang sesebuah perniagaan untuk berkembang akibat penggunaan wang yang tidak efisyen.

Adalah penting untuk usahawan memastikan stafnya memahami tugas yang diamanahkan. Ini bukan tanggungjawab yang mudah untuk pemilik perniagaan sekiranya beliau sendiri tidak mahir tentang kepentingan merekod transaksi dokumen perniagaan.

Namun, jika isu merekod transaksi perniagaan tidak ditekankan kepada semua staf yang terlibat, ia boleh membuatkan staf sendiri tidak peka dengan risiko serta kesilapan yang sedang berlaku.

Namun begitu, banyak kekangan yang dihadapi oleh usahawan PKS yang harus diambil kira. Kemampuan usahawan untuk menggaji staf yang memiliki kemahiran menjaga rekod kewangan serta dokumen perniagaan mungkin menjadi isu.

Sesetengah PKS hanya mampu menggaji seorang staf yang sama untuk menguruskan urusan jualan, belian termasuklah sumber manusia, apatah lagi menggaji akauntan bertauliah yang boleh menginteperasi maklumat dan sumber data dengan maksima.

Bermakna, staf tersebut perlu membuat kerja yang pelbagai walaupun ia sepatutnya dibuat oleh orang yang berbeza dalam meminimumkan risiko kesilapan merekod serta penyelewengan wang. Kawalan tunai juga dilihat tidak ketat kerana tiada delegasi tugas yang betul.

Dalam banyak kes ketirisan wang, staf yang membuat rekod kemasukan stok barang, belanja, jualan ataupun memasukkan wang ke dalam akaun bank adalah dibuat oleh staf yang sama. Bagi meminimakan risiko penipuan dan ketirisan wang, ini sepatutnya dielakkan.

Walaupun usahawan yang merupakan pemilik perniagaan jelas dengan risiko ini, namun beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menggaji staf yang tidak mahir dalam bidang pengurusan kewangan. Untuk mencari staf yang boleh membuat rekod jualan adalah lebih mudah berbanding menggaji pekerja yang boleh membuat rekod pembelian dan belanja dengan terperinci.

Maka, unsur kepercayaan dan penerapan nilai-nilai murni ke atas semua staf yang berkhidmat di perusahaan itu menjadi aspek yang penting dalam perniagaan ini. Adalah sukar untuk membuat kawalan bagi meminimumkan risiko ketirisan wang dalam situasi perniagaan seperti ini.

Adalah bertuah sekiranya seorang pemilik perniagaan memiliki staf yang amanah dan jujur dalam membantunya menguruskan wang dan dokumen perniagaannya walaupun staf tersebut terdedah dengan peluang untuk melakukan penyelewengan wang.

Staf seperti ini wajar dihargai kerana mampu untuk mengambil langkah proaktif memastikan segala rekod kewangan dan dokumentasi dibuat dengan tepat walaupun tugas tersebut bukanlah bidang kepakarannya.

Ada juga perniagaan yang menggunakan khidmat ahli keluarga untuk membantu pemilik menguruskan hal kewangan perniagaan secara sukarela dan percuma.

Walaupun ia bukan menjadi kesalahan undang-undang, kajian lepas telah menunjukkan bahawa faktor gaji boleh menjadi motivasi dan menyemai rasa tanggungjawab untuk menjalankan tugas yang diamanahkan dengan lebih berkualiti, sekaligus mengurangkan risiko ketirisan wang.

Namun begitu, tidak kurang kes ketirisan wang yang berpunca dari pemilik perniagaan itu sendiri. Dalam situasi ini, biasanya ia berlaku kerana pemilik kurang pengetahuan dalam proses pengurusan kewangan perniagaan yg baik, di mana punca utama adalah apabila pemilik perniagaan merasakan wang perniagaan adalah miliknya.

Walaupun benar wang perniagaan adalah kepunyaan pemilik perniagaan, namun dalam perakaunan terdapat konsep yang dipanggil sebagai entiti berasingan. Melalui konsep entiti berasingan, pemilik perniagaan tidak boleh menyamakan wang perniagaan dengan wang peribadinya. Pengambilan wang perniagaan perlulah direkodkan kerana setiap pergerakan wang perniagaan perlulah diketahui punca dan arahnya.

Pelbagai cadangan berkaitan proses, teknik dan gerak kerja dicadang serta dibahaskan dalam mengurangkan risiko ketirisan wang dalam perniagaan. Ini termasuklah proses pemfailan dan rekod yang baik sebagai asas.

Selain mengelakkan ketirisan wang, ia sebenanya merupakan amalan yang baik kerana ia memudahkan proses pencarian maklumat perniagaan yang dikehendaki termasuklah urusan rasmi berkaitan pembahayaran zakat dan cukai.

Sekiranya sesebuah perniagaan menggunakan sistem perisian perakaunan untuk merekod transaksi perniagaan, pemilik perlu memastikan data dalam perisian selari dengan stok serta dokumen fizikal di kedai.

Bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila maklumat ini tidak selari. Apa yang penting ialah pemilik telah menyedari kesilapan ini dan segera membuat pembetulan serta memastikan isu seperti ini tidak timbul di masa akan datang.

Sekiranya ketirisan wang terus berlaku, pemegang taruh akan hilang keyakinan terhadap kemampuan sesebuah PKS untuk bertahan dalam bidang perniagaan. Keupayaan serta kredibiliti dalam permohonan pembiayaan misalnya, turut akan terkesan dengan imej yang tidak sihat ini.

Isu pembasmian ketirisan wang perniagaan sebenarnya adalah tanggungjawab semua individu dalam organisasi. Pemilik perniagaan memegang tanggungjawab terbesar untuk menyemai dan memastikan budaya dan kualiti kerja yang baik demi kelangsungan perniagaannya.

-NIAGATIMES

** Dr. Noorul Azwin merupakan Pensyarah Kanan (Perakaunan dan Kewangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan

(Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian rasmi NiagaTimes mahupun niagatimes.com)

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.