7 pertanyaan sebelum mulakan perniagaan

Ada di kalangan anda yang mungkin sedang belajar dan berhasrat mulakan perniagaan. Tidak kurang juga ada yang telah mulakan perniagaan, tetapi kurang mendapat sambutan dan dalam perancangan mulakan perniagaan yang baharu. Tanya kepada diri, adakah anda benar-benar bersedia mulakan perniagaan? Cuba jawab tujuh pertanyaan ini dahulu:

(1) ADAKAH ANDA ‘SELF-STARTER’?
Terlalu banyak proses di dalam perniagaan yang perlu anda hadapi. Bermula dari aspek perancangan, pengurusan dan seterusnya proses susulan yang sangat memerlukan fokus anda. Jika anda sekadar acuh tak acuh, lupakan sahaja hasrat hendak berniaga.

(2) MAMPUKAH ANDA KOMITED?
Kesabaran sangat penting untuk anda bertahan lama dalam perniagaan. Tiada gunanya jika berkobar-kobar mahu berniaga, namun mudah menyerah kalah dan tidak kuat semangat. Tanamkan dalam diri, ‘alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan’.

(3) CEKAPKAH ANDA MEMBUAT KEPUTUSAN?
Usahawan perlu bijak dan pantas memberi respons apabila diajukan pertanyaan. Lebih-lebih lagi jika perlu membuat keputusan dalam sesuatu perkara. Jika lambat, anda akan ketinggalan. Namun perlu dipastikan juga pilihan yang dibuat itulah yang terbaik.

(4) SEJAUH MANA KEKUATAN FIZIKAL DAN EMOSI ANDA?
Tidak banyak masa terluang jika anda sudah mencebur diri dalam dunia perniagaan. Walaupun waktu bekerja pejabat telah tamat, ada kerja sampingan di luar waktu itu yang anda juga perlu berikan perhatian. Anda tidak boleh lesu. Kekuatan mental, fizikal dan emosi sangat memainkan peranan.

(5) ADAKAH KELUARGA MEMBERIKAN SOKONGAN?
Permulaan bagi sesebuah perniagaan cukup mencabar kerana masa anda banyak dihabiskan untuk menguruskannya. Keluarga anda memainkan peranan dalam memberi ruang dan masa untuk anda pada tempoh sukar ini. Pengorbanan masa anda wajar mendapat sokongan mereka.

(6) BAGAIMANA TAHAP PERANCANGAN DAN PENGURUSAN ANDA?
Banyak proses dan cabang ilmu yang perlu anda pelajari terlebih dahulu. Perkara-perkara ini sangat berkait rapat sewaktu anda merancang dan menguruskan perniagaan. Pada peringkat awal, mungkin anda belum cukup mahir. Namun, itu bukan alasan kerana selok-belok perniagaan perlu dikendalikan anda dengan baik bagi mendapat hala tuju yang tepat.

(7) BERSEDIAKAH ANDA UNTUK BERKOMUNIKASI?
Usahawan bukan selamanya bekerja di sebalik tabir. Anda perlu bertemu dengan ramai pihak seperti pelanggan, pekerja, vendor dan rakan usahawan yang lain dalam urusan seharian. Aspek komunikasi sangat memainkan peranan untuk anda mencipta ruang, peluang dan suasana positif kepada perniagaan anda. Jadi, mulakanlah komunikasi yang baik dengan semua orang.

7 pertanyaan sebelum mulakan perniagaan anda.jpg

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.