Kemampuan produk-produk usahawan bumiputera menembusi pasaran runcit tempatan melalui program ‘Lets Go RETAIL’ diyakini berupaya menjadi platform terbaik bagi para pengusaha memperluaskan rangkaian jenama masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Hatta Ramli berkata, persetujuan daripada pihak outlet runcit ternama tempatan untuk meletakkan rangkaian produk bumiputera di kedai-kedai mereka membuktikan jenama Malaysia juga berkualiti setanding jenama antarabangsa.
“Rangkaian runcit yang popular ini akan memilih produk-produk mereka melalui proses saringan yang rapi. Mana-mana produk usahawan tempatan yang berjaya masuk, kita berkeyakinan ia akan diterima oleh pengguna kerana kedai-kedai ini juga mahukan barangan yang boleh menaikkan nama mereka sebagai outlet yang terulung.
“Sebab itu kita berkeyakinan apabila kita berjaya tembus pasaran mereka, ertinya produk kita telah sampai ke tahap yang boleh diterima. Selebihnya, kita kena promosi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pemasaran Produk Usahawan Bumiputera ke Pasaran Runcit Malaysia di Kinrara Resort, semalam.
Sebanyak 20 jenama utama seperti Tanamera, Mary Jardin dan Habada akan memasarkan produk mereka di outlet runcit popular seperti 7-Eleven, KK Super Mart, 99 Speedmart, MyNews.com, Guardian dan Watsons.