realme 16T 5G tampil dengan hayat bateri dua hari dan kamera AI 50MP

realme Malaysia memperkenalkan telefon pintar baharu realme 16T 5G bagi melengkapkan rangkaian Siri 16 syarikat itu, dengan menawarkan gabungan kapasiti bateri besar, keupayaan fotografi berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan ciri ketahanan yang dipertingkatkan pada harga mampu milik.

Menurut syarikat itu, model berkenaan disasarkan kepada pengguna muda yang memerlukan peranti untuk pelbagai kegunaan harian termasuk pembelajaran, pekerjaan, permainan video, penciptaan kandungan digital dan aktiviti sosial.

Peranti tersebut dilengkapi bateri berkapasiti 8,000mAh yang didakwa mampu menyokong penggunaan sehingga dua hari bagi penggunaan biasa dan intensif.

Selain itu, realme 16T 5G turut menyokong pengecasan pantas 45W, pengecasan songsang 15W serta teknologi pengecasan pintasan (bypass charging) bagi membantu mengurangkan haba ketika peranti digunakan semasa dicas.

Dari aspek fotografi, telefon pintar itu menampilkan kamera utama 50 megapiksel (MP) Sony IMX852 dengan sokongan teknologi AI dan bukaan F1.8, yang direka untuk menghasilkan imej lebih jelas serta warna kulit yang lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Antara ciri AI yang ditawarkan termasuk AI Portrait Glow untuk penambahbaikan pencahayaan gambar, Selfie Mirror yang membolehkan pengguna melihat pratonton ekspresi ketika menggunakan kamera utama, selain fungsi penyuntingan kreatif seperti AI Popout Collage, AI StyleMe dan AI Instant Clip.

Bagi prestasi jangka panjang, realme 16T 5G dijana oleh sistem operasi realme UI 7.0 yang dipadankan dengan Flux Engine, yang menurut syarikat mampu memastikan pengalaman penggunaan lebih lancar dalam tempoh penggunaan berpanjangan.

Dari segi ketahanan, peranti itu hadir dengan penarafan kalis air dan habuk IP66, IP68, IP69 serta IP69K, selain dilengkapi perlindungan hentakan bertaraf ketenteraan untuk meningkatkan daya tahan dalam pelbagai situasi harian.

realme 16T 5G ditawarkan dalam pilihan warna Starlight Green dan Aurora Black pada harga runcit RM1,399.

Sempena jualan pertama yang bermula pada 13 Jun, pengguna boleh mendapatkan peranti itu pada harga promosi RM1,299 berserta hadiah percuma bernilai sehingga RM537, termasuk kipas tangan mudah alih, lanjutan jaminan setahun dan perlindungan skrin retak selama 180 hari.

Dengan pelancaran model tersebut, realme melengkapkan keseluruhan rangkaian Siri 16 yang menawarkan pilihan telefon pintar untuk pelbagai segmen pengguna di Malaysia.

-NIAGATIMES

realme-16T-5G-Pricing-and-Free-Gifts.jpg