Syarikat teknologi pemasaran berasaskan kecerdasan buatan (AI), Brrandom, mengumumkan pelan pengembangan operasinya ke Singapura dan Indonesia dalam tempoh 2026 hingga 2027, selaras dengan usaha memperkukuh kedudukannya dalam pasaran Asia Tenggara yang semakin berkembang pesat.
Pengumuman itu dibuat bersempena ulang tahun ketiga syarikat berkenaan, yang turut menyaksikan pelancaran enam bidang amalan AI baharu bagi memperluaskan keupayaan penyelesaian pemasaran digital yang ditawarkan kepada pelanggan.
Diasaskan di India pada 2023 dan seterusnya menubuhkan Brrandom Asia di Kuala Lumpur pada 2025, syarikat itu kini memberi tumpuan kepada penggunaan AI sebagai pemacu utama transformasi industri pemasaran.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Brrandom, Avik Guha, berkata syarikat itu sejak awal percaya AI bukan sekadar alat sokongan, sebaliknya faktor penting yang mampu mewujudkan kelebihan daya saing jangka panjang kepada sesebuah jenama.
Beliau berkata perkembangan pasaran ketika ini menunjukkan semakin banyak organisasi mula mengiktiraf kepentingan AI dalam membentuk strategi pemasaran yang lebih cekap dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Brrandom Asia, Safder Ali berkata Singapura dan Indonesia dipilih kerana kedua-duanya dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital rantau ini dalam dekad akan datang.
Menurut beliau, Singapura akan berperanan sebagai hab kecemerlangan AI serantau yang menempatkan fungsi penyelidikan, pembangunan teknologi dan pengurusan pelanggan, manakala Indonesia menawarkan peluang besar melalui populasi digital yang luas serta pertumbuhan sektor e-dagang yang kukuh.
Dalam perkembangan sama, Brrandom memperkenalkan enam bidang amalan AI yang merangkumi pengiklanan digital, pemasaran runcit, pembangunan kandungan kreatif, analitik data, pemodelan campuran pemasaran dan sistem AI autonomi.
Syarikat itu turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa penyedia teknologi AI antarabangsa bagi mengintegrasikan model AI generasi baharu ke dalam ekosistem perkhidmatannya. Teknologi tersebut membolehkan pengurusan kempen, pemantauan pasaran, analisis prestasi dan pemperibadian pengalaman pelanggan dilaksanakan secara automatik pada skala yang lebih besar.
Dalam aspek kepimpinan, Brrandom Asia memaklumkan bahawa Safder Ali kini mengambil tanggungjawab lebih luas dalam mengurus pertumbuhan dan operasi syarikat di seluruh Asia Tenggara susulan perubahan struktur pengurusan yang berkuat kuasa tahun ini.
-NIAGATIMES



















































